DLP dilaksana tidak runding dengan pakar, kata Prof Shaharir

DLP dilaksana tidak runding dengan pakar, kata Prof Shaharir

Pelaksanaan Program Dwi-Bahasa (DLP) dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Sains dan Matematik tidak melibatkan rundingan dengan pakar pendidikan terlebih dahulu, kata Prof Emeritus Shaharir Mohd Zain.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Prof Emeritus Shaharir Mohamad ZainPelaksanaan Program Dwi-Bahasa (DLP) dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Sains dan Matematik tidak melibatkan rundingan dengan pakar pendidikan terlebih dahulu, kata Prof Emeritus Shaharir Mohd Zain.

Menurut anggota Jawatankuasa Bertindak Mansuhkan DLP itu, terdapat pelbagai pendekatan lain bagi mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah tanpa mengganggu mata pelajaran sains, matematik dan teknologi.

“Begitu banyak cara (supaya pelajar dapat menguasai bahasa Inggeris) tapi kenapa hanya fikir mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris?

“Terbukti semasa PPSMI, tiada bukti jelas tentang pencapaian pelajar. Inilah masalah besar kerajaan. Cubalah dengar pandangan alternatif,” tegasnya pada sidang media menuntut pemansuhan DLP di bangunan Abim di Gombak semalam.

Terdahulu, Prof Shaharir ketika berucap di Seminar Hala Tuju Pendidikan Negara Siri 2 di Shah Alam, 5 Mac lalu berkata, fasih berbahasa Inggeris dijadikan alasan pelaksanaan DLP walaupun prestasi banyak syarikat korporat di Malaysia yang menggunakan bahasa Inggeris tidak pernah mengatasi badan-badan korporat di Korea dan Jepun.

“Hakikat sebenarnya Vietnam yang kurang fasih berbahasa Inggeris perdagangan luarnya lebih tinggi daripada kita nilainya.

“Filipina yang masih berbahasa Inggeris penganggurannya sekitar 7 peratus berbanding Malaysia 3.2 peratus.

“Vietnam, Laos, Thailand dan Kemboja penganggurannya sekitar 2 peratus ke bawah.

“Negara yang bahasa ibundanya bahasa Inggeris seperti Britain penganggurannya 6.2 peratus, Amerika Syarikat 6 peratus, Kanada 6.5 peratus, Australia 6.1 peratus dan New Zealand 5.6 peratus,” ujar Zamil Penyelidik Kanan di Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya (UM) itu dipetik dari kertas kerja beliau bertajuk ‘Dual Language Programme (DLP) Perlu Dimansuhkan.’

Sementara itu, Pengerusi Biro Pendidikan Parti Amanah Negara (Amanah), Dr Hasan Bahrom turut hadir dalam sidang media berkenaan.

“Mempamerkan (sokongan). Saya tak payah jawablah,” katanya ringkas ketika ditanya oleh Malaysia Dateline tentang pendirian parti Amanah berkenaan program DLP.

TAGS