Muslimat PAS Kelantan sokong pecat Husam

Muslimat PAS Kelantan sokong pecat Husam

Dewan Muslimat Pas Negeri Kelantan (DMPNK) menyokong keputusan Jawatankuasa Tatatertib Pas yang telah memutuskan untuk mengambil tindakan ke atas Adun Salor, Datuk Husam Musa.

Ketua DMPNK, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, ia merupakan satu keputusan secara kolektif dari Jawatankuasa Tatatertib parti yang diketuai oleh veteran parti yang berpengalaman.

“Kami penuh yakin bahawa jawatankuasa dan parti yang mengambil masa yang begitu lama dalam menimbangkan dengan sebaik-baiknya dan saksama mengenai implikasi kesan siasah dan organisasi dari pelbagai dimensi.

“Apa yang paling penting tindakan parti ini dibuat berteraskan etika, kebenaran dan keadilan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Kata Siti Zailah lagi, tindakan ini akan memberikan peringatan dan pengajaran agar semua ahli dapat menjaga kredibiliti parti dan jamaah dengan sebaiknya.

“Sudah barang tentu setiap keputusan ada pro dan kons sama ada respon positif atau negatif menurut kacamata masing-masing.

“Walau bagaimanapun ruang untuk rayuan masih terbuka luas untuk beliau merayu kepada parti dan insyaAllah kembali bersama parti sebagai wadah untuk meneruskan perjuangan politik Islam di tanah air.” katanya.

Sehubungan dengan itu, DMPNK ujarnya menyeru semua ahli Pas menerima dengan sebaiknya, bertenang dan terus istiqamah bersama kepimpinan parti.

Bekas Naib Presiden Pas, itu telah dipecat dari Pas mulai mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib PAS yang bersidang pada 23 April 2016 lalu, kata pengerusinya Dr Sanusi Daeng Mariok.

Keputusan itu dimaklumkan Sanusi dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh Harakahdaily hari ini.

Menurut Sanusi, Jawatankuasa Tatatertib Pas telah meneliti aduan salah laku terhadap Husam dan setelah mempertimbangkan kes ini dari semua aspek serta setelah mengambil kira kepentingan parti dan perjuangannya.

TAGS