Malaysia Dateline

Zaid Ibrahim

Doa: Zaid sekali lagi menempelak Kamarudin, Nik Abduh

Ahli DAP Datuk Zaid Ibrahim hari ini sekali lagi mempertahankan kenyataannya sebelum ini, berkaitan ‘doa’ apabila semalam Datuk Kamarudin Meranun mempertahankan tindakan juruterbang AirAsia mengingatkan agar penumpang dan anak kapalnya berdoa.

“Untuk Pengurusi AirAsia, saya katakan disini isunya bukan apakah baik meminta’divine intervention’ tetapi apakah wajar juruterbang meminta penumpang berbuat demikian.

“Saya ada mengatakan bahawa juruterbang tak payahlah meminta penumpang membaca doa kerana tindakan itu boleh dianggap menunjukkan keadaan sudah tidak boleh diselamatkan.

Kamarudin Meranun “Ini juga boleh diertikan bahawa beliau tidak ada keyakinan untuk mengatasi masalah pada ketika itu. Bila juruterbang berbuat demikian meminta orang membaca doa, apakah perasaan orang di belakang dalam pesawat tersebut?

“Penumpang di belakang tidak tahu banyak hal dalam keadaaan itu, dan mereka hanya mengharapkan juruterbang memberi mereka keyakinan dan panduan. Apa perlunya menambah lagi beban kepada mereka.

“Bukankah kerja dan tugas juruterbang ialah memberi harapan dan keyakinan kepada penumpang dan melakukan apa saja untuk menyelamatkan pesawat?

“Maut tidak sekali-kali harus melintas fikirannya. Itulah yang kita harapkan dari juruterbang AirAsia.

“Katakan anda dibedah oleh seorang pakar jantung, tiba-tiba semasa pembedahan, dia terus meminta semua keluarga termasuk anda sendiri untuk membaca doa.

“Bukankah itu menunjukkan anda dalam keadaaan tenat dan mungkin mati? Apakah ini yang kita mahu dari juruterbang dan pakar bedah kita?,” soalnya di dalam blognya..

Semalam Pengerusi Eksekutif AirAsia Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia X itu dipetik berkata, apa salahnya berdoa. Beliau juga akan melakukan perkara sama.

Beliau turut menegur Zaid dengan mengatakan,membuat kenyataan selalunya mudah apabila anda dalam kedudukan selamat. Keadaan seperti ini tidak akan mudah untuk diurus, tetapi objektifnya sangat jelas, untuk mendaratkan pesawat dengan selamat dan memastikan keselamatan semua di atas kapal, dan Alhamdulillah itu yang mereka lakukan, katanya.

Dalam blognya juga Zaid turut menempelak sikap Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Abduh Nik Aziz yang salah faham mengenai tweetnya dan beliau menganggap Nik Abduh sebagai orang Islam yang sombong dan menganggap dirinya alim dan orang lain jahil.

Nik Abduh Nik Aziz “Satu penyakit lama dikalangan ahli Pas.

“Dia dengan sombong bertanya sama ada saya pernah berdoa. Isu ini timbul kerana dia tidak faham kandungan tweet saya tempoh hari mengenai tindakan juruterbang AirAsia.

“Sebenarnya ini tidaklah mengejutkan, kerana Nik Abduh juga tidak memahami 1MDB, satu perkara yang mudah diafahami.

“Ramai juga orang Islam yang menghentam saya kerana kenyataan saya mengenai juruterbang AirAsia yang meminta para penumpang membaca doa ketika mengalami kecemasan di Perth.

“Mereka yang menegur ini juga tidak faham apa yang saya katakan.

“Nik Abduh dan penyokongnya kata saya larang membaca doa, atau tidak mahu berdoa. Itu silap sama sekali.

“Saya selalu berdoa dan bukan hanya semasa kecemasan. Bila enjin pesawat bergegar nak tercabut atau mengalami masalah, saya percaya semua penumpang telah pun berdoa melalui cara masing-masing ketika itu.

“Tak payahlah juruterbang menambahkan lagi kerisauan mereka. Penumpang yang rasa mereka akan mati mesti dengan sendirinya akan berdoa, dan Nik Abduh sendiri mengakui bahawa ini “lumrah maanusia”.

“Jadi apa pula perlunya juruterbang menambahkan lagi kebimbangan mereka,” terangnya.

Pada Ahad Pesawat AirAsia X dalam penerbangan dari Perth, Australia ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Perth selepas berlepas tiga jam akibat menghadapi masalah teknikal.

Menerusi tweetnya Zaid menyifatkan tindakan juruterbang itu sebagai “tidak bertanggungjawab”.

“Juruterbang AirAsia menggesa penumpang untuk berdoa ketika penerbangan Perth mengalami masalah. Saya lebih suka kalau juruterbang tidak memberitahu bahawa ajal saya sudah hampir.

“Juruterbang perlu memberi harapan. Jika AirAsia berminat kepada doa, ambil imam dan paderi sebenar,” kata Zaid.

Susulan kenyataan itu telah mengundang pandangan Nik Abduh dan Kamarudin yang mempertahankan tindakan juruterbang dan mempertikaikan kenyataan dibuat oleh Zaid.