Doakan kami jalankan tugas dengan penuh tanggungjawab, pinta Khalid Samad

Doakan kami jalankan tugas dengan penuh tanggungjawab, pinta Khalid Samad
Orang ramai bergambar dengan Khalid selepas majlis doa selamat dam bacaan Yaasin berakhir malam tadi.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad memohon warga Kuala Lumpur agar mendoakan agar beliau, timbalannya serta Datuk Bandar agar dapat menjalankan tugas dengan sebaiknya, penuh tanggungjawab dan peduli dalam memaju dan memakmurkan Wilayah Persekutuan.

Permohonan itu dibuat beliau ketika berucap seusai bacaan Yaasin dan sementara menunggu waktu Isya’ di di Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur malam tadi.

Menurut Khalid, doa dari semua warga KL diperlukan beliau untuk menjalan tugas sebaik mungkin.

“Dan tegurlah saya jika saya melakukan kesilapan,” kata ahli parlimen Shah Alam yang diberikan mandat untuk menjaga Wilayah Persekutuan itu.

Khalid menghadiri majlis bacaan Yasin dan solat hajat sempena Hari Wilayah Persekutuan yang disambut sepanjang bulan Februari ini.

Selain majlis bacaan Yaasin dan doa selamat, pelbagai acara lagi diadakan sempena sambutan itu.

Semalam Khalid dan pegawai kanan Kementerian Wilayah Persekutuan termasuk Ketua Setiausaha, Datuk Seri Haji Saripuddin bin Haji Kasim menghadap Yang Dipertuan Agong.

Ia bertujuan untuk menetapkan tarikh baru pengurnian darjah dan pangkat kebesaran sempena sambutan tahun ini.