Doktor anggap Najib dan Mahathir sudah berbaik, nenek tertanya bila pula mereka naik kereta sama

Oleh ARIF ATAN

Gara-gara memiliki nama sama dengan dua ahli politik popular, pasangan kembar tidak seiras berusia 27 tahun ini sering menjadi usikan orang termasuk doktor.

Najib dan Mahathir yang kini bekerja dalam industri minyak dan gas (O&G) berkongsikan kenangan lucu semasa mereka kemalangan di Kuala Pilah pada 2016.

“Doktor yang merawat kami di Hospital Tuanku Ampuan Najihah pun terkejut, ingatkan kami orang politik malah turut bergurau kami sudah berbaik.

“Malah, nenek kami yang dimaklumkan mengenai kemalangan menyangkakan Najib dan Mahathir yang kemalangan dan berseloroh memberitahu, bila pula dua tokoh politik berkenaan menaiki kereta yang sama,” kata Mahathir, lapor BH.

Walaupun sering kali menjadi usikan rakan tetapi kedua-duanya tidak pernah mengambil hati.

Mahathir berkata, ketika zaman kanak-kanak, mereka berdua kerap bergaduh sehingga memeningkan kedua ibu bapa namun ia berkurangan apabila semakin dewasa.

“Ayah tidak menyangka kami dilahirkan kembar sebelum mendapat idea memberi nama sempena dua pemimpin berkenaan.

“Disebabkan bukan seiras kebanyakan rakan tidak mengetahui status kami sebagai pasangan kembar namun kebiasaan, kami mempunyai minat dan aktiviti yang sama serta lumrah sebagai adik-beradik, kami tidak terlepas daripada bertengkar,” tambahnya lagi.

Baca juga Kapal bocor di lautan bergelora: Ada bertungkus lumus, ada yang tidak endah apa yang berlaku

Baca juga Anwar berhenti tidak sampai sehari bekerja, Najib dan Mahathir kemudiannya ceburi O&G