Malaysia Dateline

Doktor bantu ayah positif Covid-19 berwuduk sebelum meninggal di ICU

Jangkitan Covid-19 tidak mengenal siapa. Ahli keluarga doktor perubatan juga tidak terkecuali menjadi mangsa.

Itu yang dialami Dr Sakinah Kamarul Bahrin yang berkongsikan kisah ayahnya, Ir Kamarul Bahrin Mohamad yang telah pun meninggal dunia.

Kata Dr Sakinah, beliau sempat membantu ayahnya seorang jurutera untuk berwuduk sebelum ditempatkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU).

Babak tersebut dikongsikannya di laman Instagram @sakinah_kb. Beliau memberitahu permintaan Allahyarham untuk berwuduk itu hanya beberapa minit sebelum ditempatkan ke ICU.

Walau bagaimanapun, bapanya yang berusia 63 tahun akhirnya menghembuskan nafasnya kali terakhir selepas beberapa hari ditempatkan di ICU.

Sehubungan itu, Dr Sakinah dalam masa sama mengingatkan bahawa Covid-19 adalah benar-benar wujud dan menasihatkan agar menjaga penjarakan fizikal supaya tidak dijangkiti dan menjangkiti virus membunuh tersebut.

Untuk rekod, jumlah korban akibat Covid-19 di seluruh negara setakat tengah hari tadi mencecah 2,248 kes termasuk 49 kes kematian direkodkan hari ini.

Dalam masa sama, terdapat 57,022 kes aktif dengan 681 pesakit dirawat di ICU manakala 361 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.