Malaysia Dateline

Doktor beri keterangan 2 jam setengah selepas ulas risiko vaksin Covid-19

Dr Roland Victor memberi keterangan dua jam 30 minit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang berhubung video komennya mengenai vaksin Covid-19 yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Doktor di klinik kecantikan di ibu negara yang fasih berbahasa kebangsaan itu dilapor tiba di IPD Sepang pada 2.30 petang tadi.

Pengasas The KL Sky Clinic tersebut memberitahu setakat ini polis tidak memaklumkan sama ada beliau akan dipanggil semula untuk memberi keterangan atau sebaliknya, namun bersedia memberi kerjasama jika dipanggil.

Menurutnya, siasatan polis berhubung video dimuatnaik di Facebook kliniknya pada 7 Februari lalu berkenaan perkongsian pandangannya mengenai vaksin Covid-19.

“Polis memaklumkan menerima satu aduan berkenaan video tular itu pada 11 Februari, namun tidak mendedahkan identiti pihak membuat laporan.

“Video 56 minit yang dikongsi dalam Facebook itu hanya menjelaskan risiko dihadapi pengguna dan bukannya untuk menakutkan-nakutkan mereka.

“Semalam polis menghubungi saya pada jam 1 tengah hari untuk hadir ke IPD Sepang bagi memberi keterangan berhubung video tular itu,” lapor BH ketika ditemui di IPD Sepang.

Pengusaha klinik berkenaan menambah pendapatnya mengenai pengambilan serta keberkesanan vaksin Covid-19 terhadap orang ramai itu atas kapasitinya sebagai doktor perubatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, doktor tersebut disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan.