Malaysia Dateline

Doktor berputih mata hampir RM64,000 lesap disapu Macau Scam

Seorang doktor wanita berputih mata selepas RM63,950 disapu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Mengejutkan mangsa sebelum itu memberi maklumat kad bank dan perbankan dalam talian kononnya bertujuan mengenal pasti sama ada mangsa terbabit dengan masalah penggubahan wang haram.

Doktor berusia 31 tahun yang bekerja di hospital Kota Marudu itu mendakwa menerima panggilan dari seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai LHDN jam 1.50 tengah hari, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak, berkata suspek mendakwa nama dan MyKad mangsa digunakan oleh sebuah syarikat dan mempunyai cukai tertunggak selama 15 bulan berjumlah RM228,000.

Jelasnya, panggilan kemudian disambung kononnya kepada ‘Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka’ dan suspek kononnya mendakwa mangsa terbabit dengan kes pengubahan wang haram serta penyeludupan dadah.

Selepas itu, katanya seperti dilapor BH hari ini, mangsa kemudiannya memberikan butiran beberapa akaun bank miliknya selepas dikehendaki suspek.

Zairolnizal berkata, pada jam 5.30 petang hari sama, mangsa mengesyaki dirinya tertipu dengan sindiket Macau Scam.

“Mangsa kemudian membuat semakan semua akaun bank miliknya dan mendapati wangnya sebanyak RM63,950 dalam akaun banknya hilang.

“Menyedari tertipu, mangsa kemudian membuat laporan polis, semalam dan siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” tambahnya lagi.

Doktor berputih mata hampir RM64,000 lesap disapu Macau Scam.