Malaysia Dateline

Doktor halau waris pesakit hina jururawat

Kakitangan perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Samhan Awang terpaksa menghalau seorang waris pesakit yang bersikap biadap dan menghina jururawat.

Berkongsikan pengalamannya, beliau berkata masih ramai dalam kalangan masyarakat di negara ini yang tidak tahu untuk menghormati pekerjaan dan pengorbanan jururawat.

Ikuti luahan Dr Ahmad Samhan, 34, yang telah dibanjiri lebih 1,600 komentar dan lebih 5,400 perkongsian di Facebook hanya selepas 11 jam dimuat naik malam tadi:

 

“Wei bodoh! Angkat betul-betullah!”

Dari tadi aku dah perhatikan waris pesakit ini agak kurang sopan dengan Nurse. Minta itu, minta ini, ada sajalah yang tak kena di mata dia.

“Encik, saya Dr Samhan. Doktor yang incharge ayah encik. Ada apa-apa yang boleh saya bantu ke?”

“B*b* betul! Sedar sikit pass diploma je, bukan ada ijazah pun. Buatlah kerja betul-betul!” (sambil menuding jari pada Staff Nurse.)

Nurse itu diam membisu sepatah tak berbunyi.

Aku dah tak boleh tahan.
“Jangan kurang ajar boleh tak? Ingat Nurse ini hamba ke? Encik keluar!!”

Aku pun ada tahap sabar juga. Pantang betul kalau kita dah cakap baik-baik tapi masih nak berlagak tunjuk belang.

Aku tak kisah pun kau siapa. Aku tak kisah kalau kau nak saman. Aku tak kisah nak menjawab dengan orang atasan. Yang aku tahu, kau tak berhak langsung nak menghina.

Aku cukup hormat dengan Nurse. Tahu tak yang tak semua orang boleh bertahan dengan kerja ni?

Mereka ini kalau setakat demam biasa dan lenguh-lenguh badan, selagi larat takkan sesekali ponteng kerja.

Mereka ini walaupun berjauhan dengan anak dah berbulan, rasa rindu yang teramat tapi tak pernah sekalipun cincai dalam kerja.

Mereka ini ada yang dah bertahun minta tukar tempat kerja untuk dekat dengan keluarga, walaupun tak pernah dapat tetaplah menunggu dengan sabar.

Mereka ini walaupun baru lepas bertengkar dengan suami, simpan muka sedih. Tetap datang kerja macam biasa dan ukirkan senyuman manis.

Mereka ni anak sendiri sakit demam pun tak terjaga kerana sibuk menjaga pesakit lain yang bukan pun keluarga sendiri.

Mereka ini yang selalu diherdik dihina oleh pesakit dan waris, tetap ikhlas buat kerja tanpa banyak bicara.

Mereka ini setakat wad pecah tunggang langgang, mereka pandang sebelah mata. Cukup cekap dan sangat cemerlang pula dalam menjaga masa.

Mereka ini kalau setakat nak mandikan pesakit, tukarkan pampers, basuhkan najis semua tu dah jadi perkara biasa. Tau-tau pesakit dah bersih, kemas dan ceria.

Mereka ini kerja tak kira masa. Cuti sekolah belum tentu cuti apatah lagi cuti raya.

Aku cukup kenal mereka. Mereka sememangnya manusia yang luar biasa. Suka menolong dan membantu tanpa dipinta. Tanpa mereka satu hospital akan lumpuh.

Sebab itu korang patut hormat mereka. Jangan sesekali bersikap kasar apalagi mengherdik.

Kita rasa best bila orang hormat pada kita tapi sebelum itu, belajarlah dulu hormat dan menghargai pada orang lain. Kita akan pasti lebih dihormati dan dihargai.

Gambar ini aku ambil bila lihat Nurse ini sekejap-kejap muntah. Mengandung rupanya. Dengan muka yang pucat dan keletihan tapi tetap bekerja dengan senyum manis di depan pesakit.

Luar biasa hebat!

Kongsikan cerita ini pada orang lain sebab masih ramai yang tak tahu pengorbanan Nurse dan tak reti nak hormat orang.