Malaysia Dateline

Doktor ini bagitahu kenapa perempuan kena bagi arahan ‘direct’ pada lelaki

Insan yang bernama lelaki diciptakan dengan pemikiran dan kemahuan yang ringkas berbanding wanita yang mempunyai keinginan dan ekspetasi yang tinggi.

Namun begitu, mereka juga dikenali dengan dengan sifat sukar memahami dan menerima arahan terutamanya dari isteri.

Seperti hantaran Twitter seorang ahli perubatan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan, beliau berkongsi bagaimana isterinya memberi tugasan dengan arahan ‘terperinci’ kepadanya setiap kali sebelum keluar bekerja.

Kata Dr Kamarul, isterinya akan meninggalkan nota arahan yang lengkap supaya hal anak-anak juga tidak tercicir.

“Ini adalah cara isteri saya menguruskan rumah tangga apabila berada di tempat kerja. Beliau memasak, membersih dan merancang rapi dari awal,” kongsinya

“Kalau dia pergi kerja, saya buat tugasan ikut segala panduan diberi. Semuanya jelas, ada nombor, ada label, ada penerangan.”

Menurut beliau hal ini merupakan rutin biasa beliau dan isterinya membahagikan tugas.

Menerusi tangkap layar pesanan ringkas melalui aplikasi Whatsapp bersama isterinya dapat dilihat arahan yang diberi sangat terperinci bagi memastikan tiada perkara yang ditinggal.

“Ini adalah sarapan pagi esok untuk awak dan anak-anak. Saya akan simpan di dalam peti sejuk dan esok pagi boleh panaskan di dalam microwave. Tolong reserve 8 pieces (4 each for Weena & Amal),”

“Ini bekal Weena untuk SJKC dan SRA esok. Tolong ingatkan untuk letak di dalam beg bagi esok. Bungkusan kuning itu adalah parcel kepunyaanmu,” tulis isterinya dengan cukup lengkap.

Perkongsiannya yang mendapat 17 ribu tanda suka dan lebih 7 ribu ulang kicau ini mengundang reaksi yang berbeza dari pembaca.

Seorang pengguna berpendapat cara ini lebih baik daripada mengharap pasangan anda tahu apa yang terbuku di dalam hati tanpa sebarang bentuk komunikasi

“Saya membesar di dalam keluarga yang mempunyai nilai komunikasi yang rendah di mana saya sering dimarahi sekiranya gagal bertindak seperti apa yang ibu bapa saya mahu tanpa diberitahu”, katanya.

Namun perkongsian ini tidak dipersetujui oleh pengguna Twitter bernama Dee yang berpandangan bahawa perkara ini tidak adil dan hanya menguntungkan sebelah pihak iaitu suami.

“Bila suami hendak pergi kerja, boleh pulak pergi macam tu je. Pikir diri sendiri. Namun berbeza bagi wanita yang perlu memastikan semua perkara telah tersedia,” katanya