Malaysia Dateline

Doktor kongsi kisah sedih warga emas maut Covid-19 selepas anak, menantu ziarah raya

Akibat tidak peduli seruan kerajaan agar tidak ziarah berhari raya dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19, seorang warga emas berusia 70-an akhirnya mengisi senarai korban pandemik yang semakin mengganas itu.

Seorang doktor di sebuah hospital di Kedah berkongsikan kisah warga emas terbabit yang mulanya hadir ke hospital pada suatu petang dengan memakai gelang merah jambu.

Menerusi ciapan di Twitter pada 23 Mei lalu, Dr Syazwan Azman mencatatkan maklumat daripada Allahyarham apabila ditanyakan soalan berkaitan jangkitan dialaminya.

Terdahulu, lelaki itu datang ke hospital selepas berasa amat penat dan sukar bernafas menyebabkan anaknya yang serumah dengan Allahyarham menghubungi ambulans.

Beliau yang akhirnya meninggal dunia pada jam 5 pagi keesokannya sebelum ini memberitahu anak dan menantunya dari Johor ada balik ziarah Hari Raya.

Allahyarham kemudiannya ke klinik kesihatan untuk ujian Covid-19 sejurus anak dan menantunya di Johor itu memberitahu mereka positif pandemik itu.

“Depa (mereka) dok dengan pakcik, ada la depa batuk sikit-sikit,” katanya seperti diceritakan kembali doktor berkenaan.

Doktor itu kemudiannya menambahkan kuantiti darah kepada warga emas malang itu tetapi ujian X-ray menunjukkan keputusan yang tidak begitu baik.

Allahyarham didapati mengalami gangguan pernafasan, walaupun selepas intubasi.

“Hari ini (23 Mei) kira-kira 5 pagi, pakcik dah tak ada. Innalillahiwainnailaihirajiun..

“Minta maaf pakcik, we’ve done the best we can but Allah loves you more,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Syazwan mengingatkan orang ramai risiko tinggi jangkitan Covid-19 terutama terhadap warga emas sehingga menziarahi orang tua dilarang dan masjid ditutup.

“Sebilangan besar mereka berumur, dan gambar yang saya tunjukkan (atas) semuanya berusia 50 tahun ke atas.

“Ya, mereka semua adalah usia ibu bapa kita,” katanya lagi.