Malaysia Dateline

Doktor pernah ke Turki korban terkini Covid-19

Seorang doktor yang mempunyai sejarah perjalanan ke Turki menjadi mangsa kesembilan meninggal dunia akibat Covid-19 hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu mangsa berusia 48 tahun merupakan kes ke-890.

“Mangsa dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar pada 17 Mac 2020 selepas mengalami simptom Severe Acute Respiratory Infection dan disahkan positif Covid-19 pada 18 Mac lalu.

“Bantuan alatan pernafasan diberikan sejak 19 Mac selepas keadaan kesihatannya merosot. Dia disahkan meninggal dunia pada 10.33 pagi, hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kes jangkitan Covid-19 disyaki bukan dalam kalangan barisan hadapan (frontliners) mahupun daripada kalangan rakan kerja (working colleague) yang berdepan dengan pesakit wabak itu.

“Ia adalah berkait dengan sejarah perjalanan ke luar negara.

“Seluruh warga KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga arwah,” jelasnya lagi.

Setakat jam 1.30 petang, sejumlah 1,183 kes direkodkan dengan daerah Petaling Jaya di Selangor mencatatkan kes tertinggi di negara ini sebanyak 96 kes.