Seorang petugas perubatan berjaya mencuri perhatian selepas memuat naik gambar memegang seketul ‘halia’ yang dijumpainya di dalam buah pinggang pesakit.
Mana tidaknya, ketulan tersebut terlihat sangat besar ketika diletakkan di atas tapak tangannya hingga ramai pengikutnya tertanya bagaimana perkara itu boleh berlaku.
Berdasarkan satu hantaran di TikTok, petugas perubatan itu memaklumkan bahawa seketul halia tersebut dijumpai dalam badan pesakit wanita yang berusia 45 tahun.
Difahamkan, pesakit itu telah mengalami kesakitan pada bahagian pinggang selama lebih dari dua tahun sebelum memutuskan untuk mendapatkan rawatan di hospital.
Selepas disoal petugas, pesakit mengakui bekerja di ruangan berhawa dingin selain keperluan tugas yang memerlukannya duduk di kerusi hingga berjam-jam lamanya.
Pesakit tersebut turut menjelaskan bahawa keadaan itu membuatkan dirinya kurang mengamalkan meminum air kosong berikutan malas untuk berulang-alik ke tandas.
“Bukan itu sahaja, pesakit juga ketagih minum air dalam tin atau botol, sering makan hidangan laut, gemar makanan masin dan manis serta kerap menahan kencingnya.
“Kebiasaan pesakit ini malah membawa dirinya ke meja bedah. Hal ini kerana tanpa dia menyedari, buah pinggang kanannya telah hampir dipenuhi dengan batu karang.
“Sebelum dibedah, pesakit sempat merasa sakit yang teramat di pinggang disertai air kencing yang tidak lancar, berbau, berwarna merah dan bercampur nanah,” katanya.
Menerusi ruangan kapsyen, petugas perubatan itu menjelaskan bahawa perkongsian tersebut dibuat untuk memberikan pengajaran mengenai kesihatan tubuh badan.
Rupanya, gambar yang dikongsikan oleh petugas terbabit bukanlah ‘seketul’ halia sebaliknya batu karang di dalam buah pinggang pesakit yang jarang minum air kosong dan kerap menahan kencing.