Malaysia Dateline

Doktor Vietnam berjaya lakukan pemindahan dua paru-paru secara serentak

Para doktor Hospital Viet Duc yang berpangkalan di Hanoi telah mengumumkan bahawa mereka telah berjaya melakukan pemindahan pertama dua paru-paru daripada seorang penderma yang diisytihar sebagai mati otak kepada seorang pesakit kanser, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Vietnam setakat ini berjaya melakukan tiga pemindahan paru-paru namun ini adalah kali pertama para doktor dari negara itu melakukan pemindahan dua paru-paru secara serentak.

Ini juga adalah kali pertama para doktor Vietnam mampu melakukan pemindahan rumit itu tanpa bantuan pakar asing, kata pengarah hospital berkenaan, Tran Binh Giang, pada satu taklimat media pada Isnin.

Menurut ketua Jabatan Kardiovaskular dan Pembedahan Toraks hospital itu, Dr Nguyen Huu Uoc, pemindahan paru-paru dianggap sebagai paling rumit dalam kalangan organ.

Setakat ini, Vietnam telah melakukan sejumlah 3,200 pembedahan pemindahan buah pinggang, 105 pembedahan pemindahan hati, 27 pembedahan pemindahan jantung dan hanya tiga kes bagi pemindahan paru-paru.

Tahun ini, pusat itu telah bekerjasama dengan syarikat penerbangan Vietnam Airlines untuk mengangkut tisu dan organ secara percuma.

— BERNAMA