Dollah pilih Thailand medan pemanas hadapi Liga Malaysia

Dollah pilih Thailand medan pemanas hadapi Liga Malaysia

Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh sekali lagi memilih Thailand sebagai medan pemanas badan untuk skuad Tok Gajah menghadapi saingan Liga Malaysia 2019 yang bakal bermula awal bulan depan.

Skuad Tok Gajah yang bertolak ke Thailand hari ini, bakal menguji dua pasukan dari Liga Thailand serta sebuah kelab Liga Kemboja, demikian menurut laman sesawang Persatuan Bola Sepak Pahang;www.pahangfa.com.

Pasukan Pantai Timur itu bakal menentang pasukan Visakha FC dari Liga Kemboja pada 8 Jan; pasukan Liga Satu Thailand, Chonburi FC (10 Jan) serta pasukan Liga Dua Thailand, Army United pada 12 Jan, sebelum bertolak kembali ke tanah air, selang sehari kemudian.

“Ini adalah peluang terbaik bagi ketua jurulatih, Dollah Salleh menguji barisan pemainnya termasuk mendapatkan keserasian antara pemain import dan pemain tempatan setelah kebanyakan mereka hanya baru melapor diri pada tahun baru ini,” jelas Pahang FA.

Pahang turut membawa dua pemain import baharu iaitu Darryl Hérold Goulon dari Perancis dan pemain muda Indonesia, Saddil Ramdani pada aksi pemanas badan di Thailand.

Mereka mengekalkan khidmat pemain antarabangsa Singapura, Safuwan Baharuddin dan pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh yang masih menunggu rayuan daripada Liga Bola Sepak Malaysia untuk ditukar status sebagai pemain tempatan setelah Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) menghantar surat rayuan pada November tahun lepas.

Untuk rekod, Pahang pernah mengadakan aksi pramusim di Thailand pada 2016.

— BERNAMA