Donald Trump dan Xi Jinping capai kata sepakat soal perdagangan

Donald Trump dan Xi Jinping capai kata sepakat soal perdagangan
Trump bertemu dengan Xi Jinping bertemu di Buenos Aires, Argentina.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping capai persetujuan soal perdagangan dalam pertemuan mereka pada Sidang Kemuncak G20 di Buenos Aires, Argentina, lapor South China Morning Post hari ini.

Menurut China Daily dan CGTN, kedua-dua media milik kerajaan China ini turut melaporkan bahawa Trump dan Xi bersetuju untuk tidak menambah tariff “selepas 1 Januari” – apabila Washington sebelum ini dikatakan akan mengenakan kenaikan tariff sebanyak 200 bilion USD kepada barangan import China, iaitu satu kenaikan sebanyak 10 hingga 20 peratus.

Walaubagaimanapun, perincian persetujuan untuk menangguh kenaikan tariff ini masih belum dikeluarkan.

Rumah Putih juga turut tidak memberikan sebarang penjelasan tambahan secara terperinci selepas mesyuarat tersebut. Penasihat kanan Trump, Larry Kudlow hanya berkata perbincangan tersebut sebagai “sangat baik,”.

Perbincangan dan makan malam yang diadakan tersebut bertujuan untuk mengurangkan ketegangan di antara dua kuasa besar ekonomi ini.

Lapor agensi berita China, Xinhua, “Xi Jinping menyatakan bahawa beliau gembira untuk bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat pada awal perbincangan mereka,”.

“Sejak perbincangan yang terakhir, terdapat banyak perubahan berlaku. Selaku dua kuasa besar dunia, China dan Amerika Syarikat mempunyai kepentingan dan tanggungjawab yang besar dalam memastikan keamanan dan kemakmuran dunia,”.

“Kerjasama adalah pilihan yang terbaik bagi kedua-dua pihak. Saya ingin mengambil peluang ini untuk bertukar pandangan dengan Presiden dalam isu-isu bersama dan perancangan bagi hubungan antara Sino-US ini,” kata Xi.

Manakala bagi Trump, beliau berkata, “Saya merasakan terdapat sebab utama mengapa, sesuatu yang baik akan datang kepada China dan juga kepada Amerika Syarikat,”.

Untuk rekod, Sidang Kemuncak G20 ini merupakan pertemuan pertama pemimpin Amerika Syarikat dan China selepas perang dagang berlaku.