Malaysia Dateline

Dong Jiao Zong digesa hentikan polemik anti-Jawi

Pemuda AMANAH Terengganu menggesa Pertubuhan Pendidikan Cina, Dong Jiao Zong supaya menghentikan polemik berkaitan pembelajaran Jawi yang diperkenalkan kerajaan.

Ketuanya, Zamir Ghazali berkata, pihaknya kesal hingga kini, Dong Jiao Zong terus menerus dengan sikap anti-Jawi sehingga terbabit menganjurkan satu himpunan bagi menyuarakan bantahan terhadap pengenalan pelajaran Jawi di sekolah vernakular.

Ujarnya, walaupun didedahkan hanya tiga muka surat yang sekadar memperkenalkan tulisan jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia, ia seolah satu kejutan besar buat sebuah Pertubuhan yang berusia 65 tahun itu.

Tambahnya, ketakutan melampau Dong Zong kepada tulisan jawi yang merupakan khazanah warisan nusantara adalah bertentangan dengan usaha menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

“Tindakan Dong Zong tidak lain hanya akan menimbulkan lebih banyak kemudaratan terutama dalam hal perpaduan kaum dalam negara. Api api perkauman akan terus dimarakkan dan seterusnya prasangka dan curiga antara kaum dalam negara akan semakin meruncing,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, Pemuda AMANAH Terengganu cukup kesal dan turut mengesa sekiranya himpunan anti jawi tetap diteruskan, kerajaan perlu mengkaji kembali keperluan Dong Zong menjadi pertubuhan yang sah disisi perlembagaan.

Sebelum ini, kumpulan pendidikan Cina, Dong Zong dan Jia Zong mengumumkan akan mengadakan kongres anti-Jawi yang dijadualkan pada 28 Disember ini.

Namun tindakan Dong Zong dan Jia Zong itu mendapat bantahan dan kecaman daripada pelbagai pihak.