Malaysia Dateline

Dong Zong nafi bantah tulisan Jawi

Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) hari ini menyangkal dakwaan kononnya pertubuhan itu membantah pengenalan tulisan Jawi di sekolah.

Sebaliknya, Setiausaha Agung Dong Zong, Tan Cheng Suan, menjelaskan telah wujud salah faham dan pihaknya hanya tidak berpuas hati dengan konsep pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi.

“Kami menolak cadangan itu (pengharaman Dong Zong) tetapi kami bukan membantah pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi di sekolah.

“Kami memang tidak pernah membantah pelajaran tulisan Jawi, tetapi kami hanya tidak bersetuju dengan corak pembentangan sekarang kerana ia bukan belajar secara sukarela,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum di Kementerian Pendidikan, di Putrajaya hari ini.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya pemberita mengenai desakan beberapa pihak agar pertubuhan itu diharamkan.

Justeru, Cheng Suan berkata, sebarang keputusan yang dibuat adalah berdasarkan perlembagaan oleh persatuan itu sendiri.

“Kami memang membuat apa-apa keputusan berdasarkan perlembagaan kami (Dong Zong). Jadi ini, memang kebebasan seseorang itu untuk menyuarakan pandangan mereka,” katanya lagi.

Terdahulu, Dong Zong menyerahkan memorandum mengandungi dua muka surat kepada Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Kurikulum) KPM, Dr Habibah Abdul Rahim yang mewakili Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Turut serta ketika penyerahan memorandum tersebut ialah Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim.

Difahamkan, dalam memorandum tersebut, sebanyak 17 pertubuhan Cina dan beberapa pertubuhan India turut berkongsi pandangan yang sama dengan Dong Zong.

Menurut Cheng Suan lagi, pertemuan bersama Dr Habibah itu berlangsung dengan penuh mesra dan pihaknya berharap satu dialog akan diadakan bersama Menteri Pendidikan, Dr Maszlee berkaitan isu tulisan Jawi.