Dong Zong perlu segera mohon maaf, desak Wirawati Perkasa

Dong Zong perlu segera mohon maaf, desak Wirawati Perkasa
Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) yang lantang membangkang pengenalan tulisan Jawi dan Seni Khat perlu segera meminta maaf kepada rakyat Malaysia dan tidak seharusnya bersikap sombong.
Ketua Wirawati Putra Malaysia, Dr Asmah Razalli berkata, Dong Zong seharusnya berterima kasih kepada pemimpin terdahulu yang telah bertolak ansur membenarkan sekolah venakular ditubuhkan.
Beliau dengan tegas mengatakan, Dong Zong sebagai sebuah pertubuhan tumpangan dari pendidikan kebangsaan perlu sedar diri dan bersikap lebih sensitif terhadap majoriti rakyat Malaysia.
“Dong Zong perlu berterima kasih kepada para pemimpin terdahulu yang cukup berbudi bahasa dan bertolak ansur membenarkan sekolah vernakular bebas ditubuhkan dengan bantuan dan dana persendirian untuk menjaga warisan bangsa dan budaya bangsa Cina.
“Sekolah Vernakular tidak termaktub di dalam sistem aliran Pendidikan Kebangsaan. Jadi, segala bentuk pendidikan vernakular yang kini berkembang pesat adalah atas budi bicara kerajaan dan tolak ansur pendidikan negara.
“Mereka mungkin terlupa sistem pendidikan sekolah vernakular subur kerana rakyat Malaysia begitu bertoleransi dan  hormat menghormati. Inilah adalah asas perpaduan Malaysia dan hendaklah diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, sebab utama kewujudan vernakular di dalam serpihan pendidikan Malaysia hanyalah untuk menjaga hati, warisan, bahasa dan budaya kaum itu supaya tidak lapuk dek zaman.
Maka katanya, adalah logik jika kerajaan ingin mengekalkan warisan bangsa iaitu penulisan Jawi yang tiada kena mengena dengan Agama Islam.
Malah, beliau mempersoalkan tindakan kumpulan minoriti itu yang terus menolak warisan Melayu dalam keadaan masyarakat Melayu menerima sekolah vernakular.
“Mengapa Malaysia serta orang Melayu yang sekian lama bertolak ansur dan berhemah dengan warisan dan budaya kaum lain boleh bertoleransi dengan segala sistem vernakular, tetapi sebuah kumpulan minoriti dengan sombongnya boleh menolak mentah-mentah warisan Melayu.
“Segala penghinaan, provokatif terhadap seni penulisan khat Jawi mahupun Agama Islam sebagai Agama Persekutuan di Malaysia adalah satu penghinaan yang melampaui batas norma perpaduan. Ini tidak langsung patut diterima.
“Dong Zong belajarlah berterima kasih kerana sistem terbaik untuk perpaduan dan pendidikan mana-mana negara di dalam dunia adalah sistem pendidikan satu aliran,” ujarnya.