Dong Zong rasis, tidak pernah setuju apa-apa pun, kata Mahathir

Dong Zong rasis, tidak pernah setuju apa-apa pun, kata Mahathir
Tun Dr Mahathir Mohamad.- Foto facebook Dr Mahathir.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melabelkan badan pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong sebagai “rasis” kerana mendakwa langkah kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah sebagai satu bentuk “Islamisasi”.

“Dong Zong ini rasis. (Dahulu) kita buat sekolah satu kampus – Sekolah Wawasan – sekolah Cina, sekolah Tamil, dan sekolah kebangsaan di dalam satu kampus.

“Dia tak mahu (kerana) takut anak dia konon bercampur dengan orang Melayu. Jadi dia (Dong Zong) tak suka orang Melayu.

“Semua dia bantah. Tak pernah setuju dia dengan apa-apa pun (keputusan kerajaan),” kata beliau kepada media dalam satu majlis ramah mesra di Langkawi, seperti dilaporkan Malaysiakini hari ini.

Kumpulan pendikan Cina itu baru-baru ini melancarkan satau petisyen bagi membantah pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks bahasa Melayu di sekolah Cina dan Tamil.

Bantahan itu tetap diteruskan di sebalik pengumuman Kementerian Pendidikan pada 8 Ogos lalu bahawa pembelajaran tulisan Jawi di sekolah Cina dan Tamil akan dilaksanakan secara pilihan, dengan guru diberi kuasa menetapkan kaedah pengajaran.