Malaysia Dateline

Dong Zong sambut baik saranan Anwar

Dong Zong dan Jia Zong mengalu-alukan keprihatinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu tulisan Jawi.

Bagaimanapun dalam satu kenyataan bersamanya kedua-dua pihak tidak ada menyatakan akur kepada gesaan tidak meneruskan kongres anti Jawi yang dijadualkan 28 Disember ini.

Memetik laporan Malaysiagazette  hari ini, kumpulan pendidikan Cina itu berkata, pihaknya sedia berbincang dengan semua pihak termasuk Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dan pelbagai pertubuhan lagi bagi menyelesaikan isu tulisan jawi secara rasional sebelum atau selepas 28 Disember ini.

“Dong Jiao Zong mengalu-alukan keprihatinan Anwar mengenai isu pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan. Dong Jiao Zong sependapat dengan cadangan Anwar iaitu menyelesaikan isu tulisan Jawi melalui dialog.

“Dong Jiao Zong menghormati kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan tidak membantah tulisan Jawi. Dong Jiao Zong setuju dengan isu kandungan buku teks mata pelajaran bahasa Melayu di SJK tahun 5 sedia ada yang memperkenalkan seni tulisan pelbagai kaum, termasuk tulisan Jawi.

 “Kami sedia mengadakan perbincangan dengan semua pihak sebelum atau selepas 28 Disember 2019, termasuk Maszlee dan pertubuhan pelbagai kaum untuk bermuzakarah dan menyelesaikan isu tulisan Jawi secara rasional,” katanya dalam satu kenyataan yang sama.

Semalam, Anwar menggesa kumpulan pendidikan Cina Dong Zong dan pertubuhan Melayu lain tidak meneruskan dengan kongres berkaitan isu tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Kontroversi membabitkan tulisan Jawi dikhuatiri akan menambah dan menghangatkan suhu politik dalam negara dan antara kaum.

Dong Zong dilaporkan akan menganjurkan kongres pada 28 Dis ini bagi membantah pengenalan pembelajaran tulisan Jawi kerana didakwa bertentangan dengan keputusan kabinet dan Dokumen Standard Kurikulum Dan Pentaksiran.

Sebelum ini, kebimbangan sama turut disuarakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menegaskan tindakan Dong Zong menganjurkan himpunan itu akan berdepan dengan tindak balas orang Melayu