Dong Zong tidak harus politikkan agenda pendidikan, kata Armada Perak

Dong Zong tidak harus politikkan agenda pendidikan, kata Armada Perak
Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dianggap sebagai punca kepada perpecahan kaum di Malaysia apabila segala agenda pendidikan yang diperkenalkan sebelum ini di tolak persatuan itu.
Ketua Armada Bersatu Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh, berkata pendidikan yang merupakan tonggak utama dalam pembangunan sesebuah negara tidak seharusnya dipolitikkan mahupun digaul dengan sifat-sifat perkauman atau elemen agama .
“Dong Zong memainkan sentimen rasis sepertimana yang Tun Dr Mahathir nyatakan. Segala agenda pendidikan negara ditolaknya sebelum ini.
“Mereka ini punca kepada perpecahan kaum di Malaysia terutamanya dalam isu pendidikan. Pendidikan seharusnya menyatukan, bukan memecahbelahkan. Kegagalan dalam sistem pendidikan mampu menghancurkan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mengingatkan tentang penjajah Inggeris yang menjajah di Tanah Melayu satu ketika dahulu, juga perlu belajar menulis dan membaca di dalam tulisan jawi.
Malah menurut Hafez, pembelajaran jawi tidak akan menjadikan sesiapa lebih Islam, malah pembelajaran tulisan Cina juga tidak akan menjadikan orang itu lebih Buddha atau Kristian.
“Koleksi warkah Francis Light Muzium Perpustakaan British, perjanjian Sir Stamford Raffles dengan pihak Sultan Johor, Perjanjian Pangkor 1874, Pemasyhuran Kemerdekaan 1957, semua ini dalam tulisan jawi.
“Namun, ada beberapa pihak terutamanya Dong Zong yang tidak bersetuju dan menghasut rakyat untuk menolak pembelajaran tulisan Jawi dan Khat ini. Alasannya, ini adalah salah satu agenda Islamisasi.
“Saya tidak akan menjadi lebih Islam dengan mempelajari Jawi. Saya tidak akan menjadi Buddha atau Kristian dengan mempelajari tulisan Cina. Apek Lau tidak akan menjadi Islam dengan hanya mempelajari Jawi. Mengapa? Kerana itu adalah seni tulisan bukan dakyah agama,” katanya.
Beliau juga mempersoalkan tindakan penasihat DAP, Lim Kit Siang yang bertindak mempertahankan Dong Zong.
“Kit Siang pula dilihat mempertahankan Dong Zong. Saya nak tanya Kit Siang, apakah Kit Siang bersekongkol dengan Dong Zong dalam isu ini?,” soalnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru agar seluruh rakyat Malaysia, tidak kira bangsa, menolak sekeras-kerasnya persatuan Dong Zong itu.
“Budaya rasis ini tidak akan bawa kita ke hadapan, tapi akan terus menerus menarik kita kebelakang.
“Dong Zong harus ingat, jika mereka hendak bawa agenda mereka sendiri, mereka perlu berhadapan dengan rakyat Malaysia yang bersama-sama dengan pendirian Tun Dr Mahathir!,” ujarnya