Malaysia Dateline

Dong Zong tidak peduli usaha membina negara berbilang kaum

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), membantah keras tindakan Dong Zong yang masih enggan membatalkan perhimpunan menolak pembelajaran Jawi di sekolah jenis kebangsan pada 28 Disember ini sepertimana direncanakan.

Tindakan tersebut jelas memperlihatkan bahawa Dong Zong bukan lagi badan pendidikan tetapi merupakan pertubuhan perkauman sempit berbaur politik.

Demikian dinyatakan oleh Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Menurut Mohd Azmi lagi, prejudis Dong Zong terhadap pendidikan kebangsaan terlalu mendalam bukan atas alasan ilmiah tetapi berasaskan sentimen perkauman.

“Rasa bongkak dan besar diri yang menganggap sekolah pendidikan aliran Cina lebih superior dari sekolah kebangsaan menyebabkan apa sahaja unsur yang dilihat ‘tidak menguntungkan ‘ dan kononnya tidak menghormati hak kaum minoriti Cina akan ditolak malah dibantah keras.

“Melalui dasar terbuka kerajaan selama ini, amat menghairankan kenapa Dong Zong tidak melihat begitu banyak SRJK(C) dan SRJK(T), walaupun terdapat murid yang begitu kurang tetapi masih lagi dibiayai oleh kerajaan.

“Mereka terus bersikap cauvanis sempit terhadap pendidikan kebangsaan hingga kini, ” tegas beliau.

Mohd Azmi yang juga merupakan Presiden Teras Pengupayaan Melayu turut berkata,Jawi telah dilihat sebagai alat penulisan yang dipandang dari sudut agama dan kaum secara sempit oleh Dong Zong.

Beliau turut berkata, pandangan serong dan sempit ini memperlihatkan tindakan mereka yang tidak menghormati sejarah negara.

Ujar beliau lagi, sejarah Jawi di negara ini adalah ambilan dari tamadun Arab yang telah diakui oleh semua bahawa ia telah menjadi sebahagian tamadun alam Melayu sejak penjajahan lagi.

Malah katanya, seluruh alam nusantara menggunakan tulisan jawi.

“Apabila Tanah Melayu merdeka, tulisan Arab yang diubahsuai sebagai tulisan yang diguna dirantau ini sebagai tulisan Jawi begitu mesra sebagai tulisan rasmi apabila ramai pemimpin bukan Melayu ketika itu, malah penjajah British sendiri mahir tulisan Jawi kerana tahu ia adalah sebahagian dari tulisan pribumi negara ini.

“Apabila penjajah memperkenalkan tulisan romawi yang digunapakai oleh sistem pendidikan kebangsaan, tulisan Jawi tetap menjadi sebahagian tulisan Kebangsaan walaupun tidak lagi digunakan secara rasmi.

“Adalah amat menghairankan dan dikesali apabila Dong Zong berfikiran sempit dan terpengaruh dengan golongan yang berfikiran sekular barat dan anti Islam, ” ujarnya.

Beliau juga mempersoalkan sekiranya tulisan bahasa lain seperti Mandarin dan Tamil boleh dipelajari, kenapa pula tulisan Jawi harus dimusuhi.

Sejajar dengan itu katanya, tidak ada suatu kerugian mempelajari tulisan Jawi bagi pelajar bukan Melayu kerana kini ribuan pelajar Melayu sedang belajar di SRJK(C) dan mempelajari bahasa dan tulisan Cina

“Tindakan Dong Zong jelas tidak melambangkan sedikitpun kebersamaan dalam membina negara yang berbilang kaum dan juga agama.

“Menolak konsep Sekolah Wawasan pada suatu ketika dahulu juga jelas membuktikan Dong Zong tidak mahu interaksi antara kaum dan agama.

“Oleh kerana itu Dong Zong perlu menghormati perasaan bangsa lain serta memberi keutamaan kepada kesepakatan membina negara Malaysia yang berteraskan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi kerangka falsafah dan Dasar Pendidikan Kebangsaan,” katanya.