Sepeninggalan dari Segamat dalam misi bantuan kepada mangsa banjir, kami pulang ke utara semenanjung. Selepas pekan kecil Bukit Kepong, Gunung Ledang yang gah itu bagai melambai ucapan selamat tinggal. Gunung Ledang memang ghairah dipandang.
Memandang Gunung Ledang dari kejauhan, fikiran ini terus menangkap ayat-ayat di dalam kitab Melayu lama, Sulalatus Salatin yang kami pelajari dahulu di sekolah. Antaranya mengisahkan seorang sultan Melayu yang luar biasa kelakiannya.
Setelah puas mempunyai pelbagai jenis permaisuri di kalangan manusia, baginda berasa pula untuk mengahwani bunian atau jin. Barulah hebat terasa menjadi raja Melayu pada pandangan segala makhluk di bumi.
Lalu diperintahkan laksamana Melayu meminang Puteri Gunung Ledang yang bersinggahsana di puncak gunung. Habis segala pokok dan pohon ditebang untuk dibuat jalan mendaki.
Diketahui rahsia puteri itu bertaman di sana kerana segala binatang di dalam hutan belantara termasuk harimau itu menjadi peliharaan baginda.
Jambatan emas dari Gunung Ledang ke istana Melayu Melaka mampu baginda bina. Sedangkan mangkuk tandas istana diperbuat dari emas, apalah sangat untuk memenuhi permintaan Puteri Gunung Ledang itu.
Maka segala hulubalang dan pembesar Melayupun berkata,
‘Telah patik sekalian persembahkan tujuh dulang hati nyamuk dan tujuh dulang air mata anak dara pada Nenek Kebayan. Agar Puteri Gunung Ledang mencemar duli bertandang ke istana kayangan. Kerana Duli Sultan memendam dendam tujuh purnama. Habis segala batang pisang dibuat ulam dan santapan baginda. Habis Sungai Melaka dikocak hingga Selat Melaka berlambung ombak.’
‘Segala pepatik pacal hina berkampong di tengah padang air di kota, bermalam dengan mimpi purnama basah. Berlaut di kebun, berpantai di dapur. Tiadalah segala patik berbicara melainkan pada badak yang pekak, gajah yang buta.’
Entah begitulah angan-angan fikiran saya ketika menuju daerah Segamat yang baru sahaja ditimpa musibah banjir besar beberapa minggu lalu. Tatkala kami sibuk membantu mangsa banjir, telinga kami penuh dengan cerita hujan yang lebat, air pasang tidak menentu dan segala kesilapan alam dituding jari sesama sendiri.
Melayan angan-angan nakal kadangkala menyenangkan sama seperti menyindir dengan kata-kata yang tajam kepada mereka yang tidak faham-faham bahasa kesukaran rakyat bawahan.
Berangan-angan di kaki Gunung Ledang mengenai persembahan kepada Nenek Kebayan bagi memastikan Puteri Gunung Ledang mencemar duli turun ke Melaka. Jika menurut kitab Sulalatus Salatin, Sultan Mansor tidak sampai hati menunaikan permintaan penjaga Gunung Ledang itu yang mahu semangkok darah putera baginda.
Maka terpaksa dipendamlah dendam berahi Sultan Mansor terhadap Puteri Gunung Ledang itu kerana baginda terlalu sayang akan putera mahkota baginda yang bakal mewarisi kerajaan agung kesultanan Melaka.
Setakat tujuh dulang air mata anak dara dan hati nyamuk, baginda boleh kerahkan rakyat bawahan untuk menyediakannya. Mereka pasti patuh sebagai rakyat baginda yang setia tidak berbelah bahagi. Tetapi apabila melibatkan kepentingan baginda dan kerabat baginda, semua hasrat hati terpaksa ditangguh atau dibatalkan.
Setelah puas baginda beristana di atas tanah, baginda ingin pula mendirikan mahligai di atas lautan. Lalu ditimbun tulang belulang segala jenis haiwan termasuk manusia sebagai tambak. Begitulah baginda bernafsu di mata, beraja di hati. Tiada siapa yang mampu menghalang.
Sulalatus Salatin dikatakan ditulis oleh Tun Seri Lanang, bendahara kerajaan negeri Johor yang diasaskan oleh keturunan Sultan Melaka. Menurut sesetengah sarjana, Sulalatus Salatin adalah karya yang penuh simbolik bagi mengkritik kesultanan Melayu Melaka. Namun, hanya pembaca bijak dapat menangkap simbolik yang ingin disampaikan oleh Tun Seri Lanang.
Sayangnya, ramai yang membaca secara literal (lurus bendul) dan tidak menemui kritikan halus di sebalik karangan Tun Seri Lanang. Apabila Tun Seri Lanang menulis dongengan Puteri Gunung Ledang, orang Melayu lebih suka dongengan seperti kejelitaan dan keajaibannya daripada makna tersirat. (Agaknya itulah sebab orang Melayu sering terpesona dengan dongengan ahli politik bodoh).
Tun Seri Lanang berani sembah derhaka melalui penanya secara halus. Dilondeh-londehkan segala kemungkaran sultan dalam karyanya. Babak peminangan Puteri Gunung Ledang adalah salah satu contoh kritikan Tun Seri Lanang terhadap sultan yang hanya mementingkan diri sendiri sahaja serta mengabaikan tanggungjawab terhadap rakyat baginda.
Untuk pengetahuan semula; sebelum garis pemisah antara negeri yang Inggeris wariskan kepada kita semua, Gunung Ledang terletak di bawah Empayar Kesultanan Melayu Melaka. Johor masih dalam tembuni.
Penulis adalah Penasihat NGO Jalinan Nusantara
muhaiminsulam.blogspot.com