Malaysia Dateline

Dosa umum dan dosa peribadi dalam masyarakat majmuk

Bagi kebanyakan penganut agama Islam di Malaysia, menjalani kehidupan seharian berdasarkan slogan “cara hidup Islam” adalah cita-cita utama. Biarpun tujuan diturunkan Islam kepada umat manusia adalah bersifat peribadi, ianya juga tidak dapat lari daripada menjadi sesuatu yang bersifat sosial.

Islam tidak hanya hadir untuk mendidik jiwa manusia, tetapi juga datang untuk mengatur hidup manusia sebagai sebuah masyarakat. Dalam konteks negara ini, dengan mengambil semangat sosialnya, Islam juga menjelma sebagai sebuah institusi dan menjadi sebahagian daripada identiti negara.

Pada ranah awam Islam menjadi lebih menyeluruh. Di dalamnya terangkul pelbagai maslahat untuk umat Islam baik yang bersifat mu’amalah (tatacara perhubungan sesama manusia) seperti hukum jual beli sehinggalah kepada hal-hal berkaitan jenayah syariah atau kesalahan menurut pemahaman Islam.

Oleh yang demikian, ketika berbicara tentang soal baik dan buruk, kita sering bertemu dengan dua konsep penting dalam Islam, iaitu dosa dan pahala. Kedua-dua konsep ini menjadi asas dalam membina sempadan antara seseorang hamba dengan Tuhannya.

Menurut pemahaman Islam, dosa bermaksud sesuatu perbuatan yang dilarang oleh Allah dan perbuatan tersebut jika dilakukan akan mendapat balasan buruk (di hari akhirat). Biarpun demikian, dalam konteks kehidupan masyarakat, setiap dosa yang dilakukan boleh memberi implikasi kepada individu dan orang awam. Maka, di sini timbulnya perbahasan tentang dosa peribadi dan dosa umum.

Perkara ini pernah dibincangkan oleh cendekiawan Islam seperti Dr. Jasser Auda, tokoh ulama yang mahir tentang Maqasid Shariah. Beliau membahagikan dosa kepada dua, iaitu dosa umum dan dosa peribadi.

Dosa umum merujuk kepada tingkah laku terlarang yang dilakukan di ruang awam. Dosa peribadi pula ialah perbuatan terlarang yang dilakukan secara individu dan hanya memberi kesan terhadap hubungan si pelaku dengan Tuhannya.

Minum arak secara tersembunyi adalah suatu dosa peribadi yang hanya bersangkutan dengan pelaku dengan penciptanya. Namun demikian, dosa peribadi boleh menjadi dosa umum jika si pelaku tersebut kemudiannya memandu kenderaan dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kemalangan di tempat awam.

Perundangan Islam di negara ini sendiri telah mewartakan beberapa kesalahan yang dianggap bertentangan dengan syariat. Tujuan atau maqasid bagi pewartaan ini adalah untuk mencegah kemungkaran dan menjaga maslahat awam.
Semangat di sebalik perundangan syariah ini pula adalah untuk memberi pengajaran kepada masyarakat Islam agar dapat mengikuti syariat Islam yang sebenar.

Antara Dosa Peribadi dan Menjaga Aib

Isu perkahwinan seorang rakyat Malaysia beragama Islam dengan warga India beragama Sikh yang mengikut adat kepercayaan agama Sikh baru-baru ini boleh dijadikan pengajaran kepada kita semua.

Namun demikian, sekalipun perbuatan tersebut bertentangan dengan syariat Islam dan dianggap sebagai satu dosa serta menimbulkan kemarahan dan kekecewaan ramai umat Islam, isu ini perlu dicermati secara berhemah.

Di sini, perbincangan tentang konsep dosa peribadi dan dosa umum dibawa kembali ke dalam kehidupan kita sebagai umat Islam dan juga warganegara. Sepertimana yang telah terjadi, pemaparan aib dosa-dosa peribadi kepada khalayak umum atas tujuan memberi pengajaran bukan sesuatu yang baharu terjadi di negara ini.

Kita sering sahaja mendengar berita-berita tentang serbuan pihak penguatkuasa agama terhadap para pelaku zina yang melakukan perbuatan zina di tempat-tempat tertutup. Pertanyaan menarik yang boleh diajukan adalah, adakah perlu aib dosa peribadi yang dilakukan oleh seseorang dipaparkan untuk tatapan umum?

Jawapannya sudah tentu tidak. Islam sesungguhnya melarang manusia untuk mendedahkan aib dosa peribadi seseorang apatah lagi mengintip (tajassus) perilaku sedemikian kemudian mendedahkan kepada khalayak umum.

Sekalipun perbuatan dosa perlu dicegah, ianya perlu dilakukan melalui pendidikan, bukannya dengan menghukum pelaku dosa dengan mendedahkan aibnya. Perbuatan menceroboh premis peribadi atas sangkaan khalwat ini pernah disuarakan oleh mufti negeri Perlis pada suatu masa dahulu.

Kekeliruan yang wujud antara keperluan untuk mencegah kemungkaran dan memelihara aib perlu diberikan perhatian. Dalam menyahut semangat untuk “mengerjakan kebaikan dan mencegah kemungkaran”, kita tidak seharusnya terburu-buru untuk menghukum sehingga mendatangkan mudarat kepada mereka yang dihukum.

Perbuatan menegur kemungkaran yang berlaku itu adalah suatu perkara yang baik dan dituntut oleh Islam. Namun, jika perbuatan tersebut disulami dengan kecaman dan kemarahan semata-mata, maka ianya lebih membuka ruang fitnah dan salah faham dengan lebih luas bukannya memberi pengajaran.

Dalam hal ini, konsep dakwah secara berhikmah perlu diletakkan di hadapan. Malah, hal yang lebih penting adalah konsep berdakwah secara berhikmah ini pula perlu diikuti dengan amalan dan bukan hanya berhenti pada tahap konsep atau hanya diucapkan dalam kuliah di masjid-masjid semata-mata.

Maka, di sini letaknya peranan para agamawan dan mereka yang berpengaruh dalam masyarakat untuk ke depan bagi mendidik masyarakat tentang perbuatan amal makruf dan nahi mungkar. Bukankah itu cara untuk menjadikan Islam lebih dihormati?

Politik dan Agama yang Berlebih-Lebihan (ghuluw)

Isu perkahwinan antara agama ini perlu juga disantuni dalam konteks kepelbagaian dan kerumitan perundangan yang wujud di Malaysia. Meskipun pada asasnya perlakuan sedemikian bercanggah dengan pemahaman Islam, namun terdapat beberapa perkara yang jatuh di dalam ruang peribadi kepada perilaku tersebut. Malah, keterbatasan ruang perundangan di samping keperluan untuk menjaga sensitiviti ramai pihak terutama keluarga pelaku perlu juga diambil kira.

Walau bagaimanapun, topik agama atau kaum masih tidak dapat lari dari hal ehwal politik di negara ini. Kedua-duanya sering dijadikan bahan untuk meraih kekuasaan dan sokongan baik oleh pemain utama politik mahupun penyokongnya. Agama juga menjadi alat untuk ahli politik tuduh-menuduh antara mereka yang berkuasa dan mereka yang tidak. Pada titik ini, nilai Islam terhimpit di tengah ketika gergasi-gergasi politik sedang bertelagah.

Maka, tidak menghairankan apabila terdapat segelintir pemain politik yang sering mentafsirkan atau mengambil jalur Islam yang keras dalam menyusun-atur politik (siasah). Tidak sedikit juga yang memomokkan masyarakat khususnya orang Islam tentang balasan dosa jika tidak menuruti ijtihad politik mereka.

Termakan dengan ajakan sebegini, maka ada sebahagian orang yang menjadi taasub dengan fahaman sendiri dan mencaci-maki ketika berpencak silat dalam politik. Sewajarnya, tidak perlu lagi menggunakan dalil-dalil Islam untuk menghukum keras pihak lain. Apatah lagi jika keseteruan politik hanya disandarkan kepada perkara akidah. Bentuk pemikiran sebegini perlu dibuang jauh dari benak masyarakat.

Kesedaran tentang Islam tidak dapat dinafikan lagi sudah sebati dalam sanubari masyarakat Muslim. Namun seringkali kesedaran ini dijentik oleh segelintir pemain politik sehingga menimbulkan kemarahan dan salah faham dalam kemajmukan masyarakat Malaysia. Sekurang-kurangnya Islam tidak memaksa dan menghukum agama dan kepercayaan lain yang ada secara bersama. Hakikatnya, Islam itu sendiri menganjurkan perdamaian dan toleransi tanpa mengira agama dan bangsa.

Bertepatan dengan realiti kemajmukan masyarakat di Malaysia, para agamawan seharusnya memainkan peranan penting untuk mendidik masyarakat dengan sikap rahmah dan muhibah. Sewajarnya, sikap mencegah kemungkaran perlu diikuti dengan sikap ramah dan kasih sayang.

Sikap taasub dan berlebih-lebihan yang membarah dalam masyarakat Islam wajar diubati melalui cara perdamaian yang meraikan kepelbagaian pandangan. Justeru, perbezaan politik dijadikan wadah untuk berlumba-lumba ke arah kebaikan (Fastabiqul Khairat) dalam suasana demokrasi yang lebih sihat.
—————–
Nidhal Rawa merupakan seorang penyelidik di Program Kajian Sejarah dan Serantau di Penang Insitute. Bidang kajian beliau termasuklah politik Islam dan sejarah perkembangan masyarakat Muslim di Pulau Pinang. Tulisan ini dipetik dari NADI, Penang Institut.