Sekeping gambar yang memaparkan sebuah kenderaan memarkir kereta secara ‘double parking’ tular di media sosial baru-baru ini.
Apa yang menarik perhatian, pemandu berkenaan bagai sengaja ‘menayangkan’ jaket polis di dashboard atau papan pemuka kenderaan itu.
Pemilik kereta itu sepatutnya bertanggungjawab dengan meninggalkan nombor telefon bagi memudahkan dirinya dihubungi.
Namun begitu, tindakannya meletakkan jaket kepunyaannya di papan pemuka bagai menggertak orang ramai supaya berdiam diri.
Menurut satu perkongsian di laman Facebook, akibat gagal menghubungi pemilik kenderaan terbabit, satu kesesakan teruk telah berlaku.
Difahamkan, kejadian tersebut berlaku di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, Ipoh, Perak.
“Ingin beriadah lepas itu ‘double park’ tengah jalan sampai jadi sesak teruk. Tidak tinggal nombor telefon tetapi letak ‘vest’ (polis),” tulis pemilik bernama Hanake Shimizu.
Setelah tular dan dikongsi di pelbagai media sosial, pihak polis dipercayai sedang mencari pemilik kenderaan terbabit.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan meminta pemilik akaun untuk menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.
“Polis sedang mengesan individu yang merakam gambar itu bagi membantu mengenal pasti pemilik kereta berkenaan,” katanya.
Baca juga: Wee kesal makanan banjir tiada kualiti, netizen minta penyelesaian bukan jadi tempat mengadu sahaja