Malaysia Dateline

‘Double Standard’ Muhyiddin dibuktikan ‘tidak melekat kepada kabinet’

Setelah tular tanda palang #MuhyiddinOut, kini tular pula kecaman dan gurauan tentang tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kononnya tidak ‘double standard’.

Yang lebih memeritkan lagi, ia berani dilakukan oleh para artis dan pelakon yang tidak takut lagi menyerang dan menyindir kerajaan pimpinan Muhyiddin.

Yang paling ketara adalah klip video 2.19 minit yang dibuat oleh pelakon Douglas Lim mengenai rotan dan double standard yang diperkatakan oleh Muhyiddin dalam perutusan khas beliau semalam yang dikecam ramai itu.

Video Douglas Lim kini menjadi viral dan telah ditonton oleh ratusan ribu penonton di media sosial.

Video bertajuk “Double standard tape (Memang Wujud)” telah ditonton lebih 10,000 sejak 15 jam lalu di Youtube sahaja.

Dalam video ini, sambil mempermainkan isu rotan yang dibuat lawak oleh Muhyiddin dalam perutusannya, Douglas membuktikan ‘double standard tape’ tidak melekat pada ‘kabinet dapor’.

Veteran DAP, Lim Kit Siang telah mengkritik kenyataan Muhyiddin tidak ada ‘double standard’ dalam mematuhi arahan kuarantin sebaik sahaja beliau mengungkitkan perkataan itu dalam perutusannya.

Dalam kenyataan tiga perenggan itu, Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, kenyataan Muhyiddin itu hanya boleh diakui jika Muhyiddin boleh menerangkan dengan jelas apa berlaku kepada Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang melanggar SOP kuarantin selepas pulang dari Turki 7 Julai lalu.

“Rakyat Malaysia masih menunggu Perdana Menteri menunjukkan kepimpinan melalui tauladan dalam kes Khairuddin,” kata Kit Siang dan “Berapa lama lagikah mereka harus menunggu,” soal beliau.

Ketika memberikan perutusan yang dianggap paling tidak bermakna itu, Muhyiddin menegaskan tidak ada ‘double standard’ dalam mematuhi arahan kuarantin dan semua pihak termasuk beliau dan menteri tidak terkecuali daripada mematuhi prosedur operasi standad (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dalam soal itu.

Perdana Menteri berkata beliau sendiri sebagai pemimpin nombor satu negara telah dua kali menjalani kuarantin di rumah seperti yang ditetapkan KKM, termasuk selepas mengetahui salah seorang menteri Kabinet yang menghadiri mesyuarat dipengerusikannya positif Covid-19.

“Sebagai perdana menteri saya tidak terkecuali tertakluk pada SOP. Ini kali kedua saya jalani kuarantin di rumah sejak pandemik ini melanda.

“Saya mesti patuh pada peraturan yang ditetapkan. Bersama-sama saya jalani kuarantin di rumah ketika ini ialah tujuh menteri dan enam timbalan, semua tidak terkecuali. Mereka mesti patuh kepada peraturan dan tindakan boleh diambil sekiranya mereka ingkar,” katanya.

Pelakon Adibah Noor antara yang mempertikaikan keseluruhan “Perutusan” ini apabila berkata, “Sebenarnya nak cakap pasal apa ni…????” dalam komen yang dibuatnya dalam twitter ketika perutusan itu diberikan.