Malaysia Dateline

Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan Ir Khairil Nizam Khirudin

DPPM gesa kerajaan tingkatkan pengkuatkuasaan akta urus sisa toksik

Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) mahu kerajaan meningkatkan penguatkuasaan dalam peruntukan pengurusan sisa toksik berdasarkan Pengurusan Bahan Buangan Terjadual Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, dan Peraturan Bahan Buangan Terjadual (PPBT), 2005.

Ketua Pemudanya Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, DPPM memandang serius perkara ini kerana peruntukan yang sedia ada di dalam PPBBT 2005 tidak dikuatkuasakan.

“Peruntukan PPBT 2005 yang mewajibkan pihak pengeluar sisa toksik untuk memaklumkan kepada pihak berwajib dalam masa 30 hari.

“Peruntukan sama juga menetapkan garis panduan pengurusan sisa buangan terjadual secara ‘cradle to grave’ bermula dari mula sisa toksik dihasilkan sehinggalah ianya dilupuskan secara selamat, sepatutnya dapat menghalang tragedi ini daripada berulang,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Justeru katanya seluruh rakyat Malaysia masih merasa bersedih di atas tragedi berulang yang menimpa penduduk Pasir Gudang, Johor akibat pencemaran sisa toksik yang masih dalam siasatan pihak berwajib.

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) sangat curiga bagaimana tragedi ini boleh berulang dalam masa yang singkat. Adakah disebabkan oleh proses pembersihan yang tidak lengkap atau berpunca dari sumber pencemaran yang baru?

“DPPM berharap mereka yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan dengan segera.

“DPPM amat kesal di atas tragedi yang berulang ini kerana penguatkuasaan seharusnya ditangani dengan lebih efektif oleh agensi pengawalan yang bertanggungjawab,” ujarnya lag.

Beliau berkata DPPM menyokong aktiviti bantuan dan sokongan mangsa. DPPM telah mengarahkan Jabatan Amal Malaysia (Jam) turun ke lokasi bagi sama-sama membantu agensi-agensi Kerajaan dalam memberikan khidmat kepada masyarakat setempat

“Sebanyak empat stesen kawalan dan bantuan di kawasan terbabit telah pun diwujudkan.

“DPPM juga mengarahkan Dewan Pemuda Pas Negeri-Negeri dan Kawasan untuk melakukan solat Hajat dalam waktu terdekat di seluruh Negara agar dimudahkan segala usaha menyelamat dan mengawal situasi di sana serta diberikan kesabaran dan kerahmatan kepada mangsa-mangsa dan keluarga mereka,” ujarnya.