Malaysia Dateline

DPPM hantar memorandum tolak Pelan Damai di kedutaan AS

Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) menghantar satu memorandum menolak Pelan Damai diusahakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump iaitu ‘Deal of the Century’, yang disifatkan sebagai satu perjanjian mengenepikan rakyat Palestin.

 Perjanjian berat sebelah Trump yang melibatkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu itu turut ditentang pelbagai pihak termasuk Pertuduhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab, dan seorang wakil Pertuduhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Menurut Ketua Pemuda Pas Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin, beliau bersama delegasi DPPM membawa beberapa cadangan kepada pihak kedutaan Amerika Syarikat termasuk membenarkan Palestin memilih rakan sekutu untuk ‘Pelan Damai’ itu.

“Antara yang kami cadangkan, sekiranya Amerika Syarikat boleh bersama membuat satu perjanjian, kenapa tidak membenarkan pihak Palestin memilih rakan sekutu mereka untuk bersama dengan mereka bagi membincangkan perkara ini?

“Maknanaya bukan Amerika Syarikat, Palestin, dan Israel sahaja, kita mahu Amerika, Israel, Palestin dan rakan yang dipersetujui Palestin sendiri yang boleh duduk semeja membincangkan kebaikan kepada rakyat Palestin, yang kita tahu Israel telah lama menzalimi rakyat Palestin,” ujarnya seperti dipetik laporan Harakahdaily.net hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas usai menyerahkan memeorandum tersebut kepada pihak kedutaan Amerika Syarikat di ibu kota, di sini pagi tadi.

Mengulas lanjut menurut Khairil, usaha tersebut mendapat sambutan baik dari pihak kedutaan dan mereka berjanji akan memastikan pihak berkaitan menerima memorandum tersebut.

Malah, tindakan Pemuda Pas yang terkehadapan dalam isu ini turut mendapat reaksi baik walaupun hanya mewakili salah satu parti politik pembangkang dari Malaysia.

“Alhamdulillah, pihak kedutaan mengatakan mereka teruja sebab ini kali pertama parti politik negara datang mebawa suara mereka dan bercakap serta berdebat secara terbuka sesama mereka.

“Menunjukkan yang kita berani menyatakan kebenaran kepada mereka, DPPM tidak ada suara ketenteraaan, apa yang kita buat adalah (memberi) idea dan kita bawa suara rakyat Palestin secara diplomatik,” ujarnya