Malaysia Dateline

DPPM pertikai konsep hibah ikut kemampuan TH, tidak boleh dijadikan amalan tetap

Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) berkata. hibah yang diberikan Lembaga Tabung Haji (TH) kepada pencarum sebagai ‘hadiah’ yang berdasarkan konsep ‘Wadiah Yad Dhamanah’ iaitu mengikut kemampuan kewangan TH pada tahun semasa, tidak boleh dijadikan amalam tetap.

Pengarah Strtateginya Syahir Sulaiman menjelaskan amalan pemberian hibah sebagai hadiah dibenarkan, tetapi ia tidak boleh dijadikan sebagai amalan tetap bagi mengelakkan amalan tersebut dikira sebagai ‘urf (kebiasaan) yang menyerupai syarat dalam kontrak deposit berasaskan wadi’ah.

“Mensyaratkan pulangan dalam bentuk hibah terhadap simpanan wadi’ah boleh menjerumuskan akad tersebut ke dalam riba yang diharamkan syarak dan pulangan itu menjadi sesuatu yang tidak bersih.

Syahir Sulaiman

“Pemberian dan cara hibah TH dilakukan adalah seperti yang termaktub dalam Akta Tabung Haji 1995, Sekyen 22 (1) & (2).

“Justeru semua pendeposit perlu memahami bahawa tabungan di Tabung Haji adalah instrumen ‘simpanan’ dan bukannya ‘pelaburan’ yang ada untung dan rugi.

“Namun menjadi kewajipan Tabung Haji untuk melindungi kepentingan pendepositnya dan memaksimakan kebajikan para jemaah haji,” ujarnya dalam kenyataan yang dipetik dari lidah rasmi Pas Harakahonline.

Beliau mengulas keputusan TH mengumumkan hibah (dividen) bagi tahun 2018 yang dijangka akan dilunaskan pada bulam Mac ini.

Sebelum ini pada Februari Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, bayaran hibah atau dividen 2018 bagi sesuatu tahun akan diisytiharkan dalam tempoh dua bulan setelah akaun ditutup, ataupun paling lewat tiga bulan.

Menurut Syahir lagi kenyataan Dr Mujahid itu dibuat susulan TH mula melaksanakan pelan menyeluruh bagi memulihkan penyata kira-kira yang mencatatkan defisit lebih RM4.1 bilion pada 2017 dan diletakkan di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) bermula Januari lepas bagi menambah baik tadbir urus organisasi berkenaan.

“Kini sudah masuk minggu terakhir bulan Mac, dan berkemungkinan Hibah TH bagi tahun 2018 akan diumumkan dalam minggu ini.

“Ramai yang menjangkakan kadar hibah yang lebih rendah pada kali ini. Namun semuanya akan terjawab apabila TH mengumumkan kedudukan kewangannya yang terhasil daripada perjalanan operasi dan pelaburan TH sepanjang tahun 2018.

“Menariknya jika dirujuk laman web Tabung Haji, ada dinyatakan bahawa Hibah TH adalah ‘hadiah’ dan ‘tidak wajib’ dibayar,” ujarnya.