DPTN dokumen penting pendidikan tahfiz, kata Mujahid

DPTN dokumen penting pendidikan tahfiz, kata Mujahid

Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) merupakan dokumen penting sebagai landasan jangka panjang bagi mewujudkan pendidikan tahfiz berkualiti dan diperkasakan  mengikut arus perdana, kata Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Menteri Agama di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, semua institusi pendidikan agama termasuk sekolah-sekolah tahfiz yang ditubuhkan oleh pelbagai pihak adalah perlu berdaftar dan tertakluk kepada Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama atau undang-undang dan peraturan yang sedang berkuatkuasa di negeri berkenaan.

“Jakim selaku agensi pusat dalam usaha memperkasa pendidikan tahfiz telah memperkenalkan Dasar Tahfiz Negara (DPTN) yang merupakan dokumen penting sebagai landasan jangka panjang bagi mewujudkan pendidikan tahfiz berkualiti dan mengikut arus perdana,” ujarnya ketika menjawab pertanyaan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Pas-Kubang Kerian) dalam sesi pengulungan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke -11 di Parlimen hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, menerusi Jakim selaku agensi pusat dalam usaha memperkasa pendidikan Islam dan tahfiz telah menyediakan peruntukan kepada institusi tersebut.

“Semua institusi pendidikan agama termasuk sekolah-sekolah tahfiz yang ditubuhkan oleh pelbagai pihak adalah perlu berdaftar dan tertakluk kepada Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama atau undang-undang dan peraturan yang sedang berkuatkuasa di negeri berkenaan.

“Ini adalah selaras dengan ketetapan Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan bahawa hal ehwal Islam adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri.

“Oleh itu usaha untuk pembangunan institusi tersebut adalah tanggungjawab pihak berkuasa agama negeri dan jemaah pengurusan institusi tersebut,” ujarnya.

Dr Mujahid juga berkata, Jakim pada 2017 telah  peruntukan sebanyak RM30juta untuk penyelarasan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) dan RM30juta melalui GiatMara untuk senggaraan pendawaian elektrik di institusi tahfiz tidak berdaftar yang berjumlah 669 buah.

Manakala pada tahun 2018 sebanyak RM50juta melalui Kementerian Luar Bandar kepada GiatMara adalah agensi pelaksana yang melibatkan 771 buah tahfiz berdaftar.

 

 

 

COMMENTS

Wordpress (0)