Malaysia Dateline

Dr Afif disebut-sebut calon Ketua Pengarah Jasa

Orang kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Dr Afif Bahardin disebut-sebut bakal dilantik menjadi Ketua Pengarah Jasa yang baru selepas bajet sebanyak RM85.5 juta diluluskan untuk pembentukannya.

Menurut kelab penyokong Perikatan Nasional, Perikatan Nasional Fans, mereka belum mendapat kepastian dari pihak Dr Afiz lagi, namun poster tahniah kepada beliau sudah disebarkan.

“Belum dapat kepastian dari dari pihak Dr Afif. Kalau benar, tahniah dari PN Fans. Kita jaga sesama kita ke YB. Kempen PN kaw-kaw,” tulis kelab penyokong kerajaan PN itu menerusi facebook mereka.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan menghidupkan semula unit propaganda Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), dengan peruntukan RM85.5 juta di bawah Belanjawan 2021.

Menurut anggaran perbelanjaan persekutuan, terdapat dua peruntukan untuk unit itu di bawah belanjawan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Peruntukan pertama sebanyak RM4 juta di bawah belanjawan komunikasi strategi dan peruntukan kedua sebanyak RM81.5 juta di bawah dasar baru.

Jumlah kedua-duanya, iaitu RM85.5 juta adalah peningkatan 185 peratus daripada RM30 juta yang diperuntukkan kepada jabatan itu oleh kerajaan BN di bawah Belanjawan 2018.