Malaysia Dateline

Dr Afif seru Nazri Aziz segera hentikan adu domba

Dr Afif Bahardin, Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, mendesak Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz supaya menghentikan usaha mengadu-dombakan serta melaga-lagakan Pakatan Harapan (PH).

Dalam kenyataan beliau sebentar tadi, Afif berkata, dakwaan terbaru Nazri bahawa perbincangan beliau dengan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu dakwaan yang berniat jahat dan perlu ditolak.

Malah ujarnya lagi, kenyataan terbaru Anwar yang mengulangi tekad dan komitmen untuk mempertahankan amanah rakyat bersama PH merupakan amanah yang dipegang.

“Iltizam yang ditunjukkan oleh Presiden KEADILAN, mendukung kepimpinan Tun Mahathir dan kini mengepalai Kaukus Reformasi dan tadbir urus Parlimen adalah bagi memastikan kelangsungan agenda Reformasi berterusan.

“Kami yakin akar umbi Keadilan, komited kepada muafakat PH yang dibentuk sebelum 9 Mei.

“Perjuangan panjang yang diharungi anggota parti dan aktivis Reformasi akan hanya membawa makna apabila pemimpin KEADILAN memenuhi cita-cita perjuangan suci tersebut, ” tegas beliau dalam kenyataan tersebut.

Afif yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri turut berkata, adalah diyakini majoriti anggota dan rakyat tidak akan bersetuju dengan sebarang bentuk kerjasama politik dengan entiti bernama Umno selagi mereka tidak benar-benar mendukung prinsip agenda Reformasi.

Sehubungan itu katanya, adalah disarankan supaya Nazri menghentikan segala tohmahan dan cubaan adu domba tersebut.