Dr Ahmad Samsuri angkat sumpah MB Terengganu

Barisan Exco kerajaan negeri Terengganu pimpinan Dr Ahmad Samsuri.

Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah dilantik sebagai menteri besar Terengganu yang baru dan mengangkat sumpah jawatan malam tadi.

Jurutera kapalterbang itu mengangkat sumpah sebagai menteri besar jam 9.00 malam di depan Tuanku Mizan Zainal Abidin, Sultan Terengganu.

Samsuri yang juga pengarah pilihan raya Pas itu telah menamakan 10 barisan exconya yang terdiri dari pemimpin kanan PAS Terengganu.

Mereka adalah Satiful Bahri Mamat (Paka), Dr Alias Razak (Bukit Tunggal), Mohd Nor Hamzah (Bukit Payong), Ariffin Deraman (Alor Limbat), Tengku Hassan Omar (Ladang).

Turut mengangkat sumpah adalah Wan Sukairi Wan Abdullah (Wakaf Mempelam), Hanafiah Mat (Cukai), Dr Azman Ibrahim (Jabi), Dr Mamad Puteh (Kuala Berang) dan Mohd Nurkhuzaini bin Ab Rahman (Kota Putera).

Pas telah memenangi 22 dari 32 kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu dalam pilihan raya kali ini manakala BN (10).

Siang tadi, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Hussein Awang berkata, menteri besar dan exco akan mula memasuki pejabat mereka di Wisma Darul Iman Isnin ini.

Satu majlis serah tugas antara menteri besar lama, Datuk Seri Mohamad Razif Abdul Rahman kepada menteri besar baru Dr Samsuri akan diadakan hari Isnin ini.

CATEGORIES
TAGS