Malaysia Dateline

Dr Aliakbar Gulasan, SU Pas Sabah dilantik Adun

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Sabah, Dr Aliakbar Gulasan telah dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah yang akan mengangkat sumpah hari ini.

Beliau yang juga AJK Pas Pusat adalah salah seorang dari enam Adun yang dilantik hari ini walaupun mendapat bantahan sekutu kerajaan negeri dari Parti Bersatu Sabah (PBS).

Bekas Pensyarah Kanan, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah itu mula muncul dalam politik Pas apabila beliau menjadi salah seorang yang tidak dikenali tiba-tiba menang sebagai AJK Pas Pusat pada Muktamar Pas 2015 ketika 18 pemimpin kanan Pas ditendang keluar dari parti itu.

Aliakbar adalah antara perwakilan yang berucap dalam Muktamar Pas tahun ini di Pusat Tarbiyah Pas Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan bulan lepas.

Ketika itu beliau mempertahankan keputusan tidak memberikan Pas sebarang kerusi dalam pilihan raya negeri Sabah walaupun Pas sebelum itu menuntut 10 kerusi.

Malaysia Dateline difahamkan perlantikan sebagai Adun tambahan adalah antara janji penyelesaian selepas hasrat Pas untuk bertanding 10 kerusi dalam PRN Sabah ditolak oleh rakannya samada Umno atau Bersatu dengan alasan kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Nik Zawawi Salleh di Parlimen mengenai Kristian akan menyukarkan mereka untuk menang di Sabah.

Dalam majlis angkat sumpah Kabinet Sabah hari ini, Datuk Haji Kadzim M Yahya akan dilantik sebagai Speaker DUN Sabah.

Lima menteri dan 11 timbalan menteri kerajaan negeri Sabah juga akan mengangkat sumpah hari ini.

Selain Dr Aliakbar, turut dilantik sebagai Adun adalah Datuk Seri Yong Teck Lee, Suhaimi Nasir, Raimie Unggi, Jaffari Walliam dan Datuk Amisah Yassin.

Sebelum ini Pengerusi Bersatu Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah walaupun Umno mendapat lebih banyak kerusi berbanding Bersatu.

Datuk Bung Mokhtar Radin, Pengerusi Umno Sabah dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri.