Dr Azman kekal di Kuala Kedah, Chan Ming Kai pindah ke Parlimen Alor Setar

Dr Azman kekal di Kuala Kedah, Chan Ming Kai pindah ke Parlimen Alor Setar

Pengerusi PKR Negeri Kedah, Dr Azman Ismail kekal bertanding kerusi Parlimen Kuala Kedah yang telah dimenanginya pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu sepertimana yang telah diumumkan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam.

Manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Indera Kayangan, Perlis, Chan Ming Kai telah berpindah ke kerusi Parlimen Alor Setar bagi PRU kali ini.

Sementara itu Ketua Wanita PKR Negeri Kedah, Nurin Aina Abdullah akan bertanding bagi kerusi Parlimen Merbok dan Datuk Johari Abdul kekal bertanding bagi kerusi Parlimen Sungei Petani sekali lagi.

Ketua Cabang Padang Serai, Karupaiyyah Mutusamy pula akan menggantikan N. Surendran yang pernah memenangi kerusi tersebut pada PRU yang lalu.

Chan Ming Kai berpindah dari Dun Indera Kayangan, Perlis ke Parlimen Alor Setar.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail akan bertanding sekali lagi bagi kerusi yang pernah beliau tandingi sebelum ini iaitu Parlimen Kulim-Bandar Baharu.

Untuk 10 kerusi Dun Kedah, Naib Pengerusi PKR Negeri Kedah, Ir Zamri Yusuf akan bertanding kerusi Dun Bakar Bata.

Robert Ling kekal bagi kerusi Dun Sidam serta Simon Ooi yang pernah memenangi kerusi Dun Bakar Arang sekali lagi telah diberi amanah untuk mewakili Dun tersebut.

Ketua Penerangan PKR Negeri Kedah, Mohamad Sofee Razak akan bertanding bagi kerusi Dun Kuala Ketil.

Azman Nasrudin juga kekal mempertahankan kerusi yang pernah dimenanginya dalam PRU yang lalu bagi kerusi Dun Lunas.

Naib Ketua Cabang Kulim-Bandar Baharu, Yeoh Kua Chuan yang juga merupakan muka baru akan bertanding bagi kerusi Dun Kulim.

Selain mempertahankan kerusi Parlimen Sungei Petani, Datuk Johari Abdul turut bertanding bagi kerusi Dun Gurun.

Setiausaha Kerja PKR Negeri Kedah, Che Mat Dzaher Ahmad turut diberi kepercayaan untuk bertanding bagi kerusi Dun Bukit Pinang pada kali ini.

Hashim Idris akan bertanding bagi kerusi Dun Pedu dan Dr Summugam Rengasamy akan bertanding kerusi Dun Bukit Selambau menggantikan Dr Krishnamoorthy yang pernah memenangi kerusi tersebut pada PRU yang lalu.

CATEGORIES