Malaysia Dateline

Dr Dzul kepada Dr Adham: Ambil tanggungjawab atau letak jawatan

Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mendesak Datuk Seri Dr Adham Baba dan dua timbalannya untuk segera mengambil alih dan bertanggungjawab membuat segala keputusan dalam kementeriannya atau bersedia meletakkan jawatan.

Beliau berkata demikian selepas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengatakan bahawa dia hanyalah penyampai yang mewakili pandangan pakar-pakar dalam kementerian yang bekerja di belakang tabir.

Memetik Malaysiakini, Dzulkefly berkata, Adham bersama timbalannya Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Datuk Aaron Ago Dagang seharusnya bekerja sebagai satu pasukan dengan birokrat dan teknokrat kementerian.

“Pada akhirnya, eksekutif iaitu Menteri perlu sentiasa mengambil alih dan memikul bertanggungjawab.

“Itulah sebabnya mengapa masyarakat sekarang mengatakan menteri dan dua timbalannya makan gaji buta. Kenapa? Kerana mereka tidak lihat pemimpin mereka mengambil tanggungjawab,” katanya memetik Malaysiakini.

Sementara itu Dzulkefly yang juga Pengerusi Taskforce Covid-19 Selangor berkata, selepas ketiadaan beliau di dalam kementerian, Noor Hisham dilihat seperti mengambil alih tanggungjawab, terutama dalam mengendalikan sidang media setiap hari.

Beliau juga menyifatkan bahawa Malaysia telah kehilangan kepimpinan politik dan negara berjalan “hampir secara automatik” sejak kerajaan Pakatan Harapan(PH) digulingkan tahun lalu.

“Orang ramai bertanya ‘sekarang ada tiga orang. Seorang menteri dan dua timbalan menteri, di mana mereka?

“Keadaan telah bertambah buruk dan memerlukan mereka dilihat dan bertanggungjawab, bukan hanya pada DG.

“Anda mesti terlihat, jangan takut dikritik. Dan jangan hanya mahu dipuji,” katanya lagi.