Malaysia Dateline

Dr Dzul, Saifudin dan Loke wakil PH dalam JK Bebas nilai Darurat

Pakatan Harapan (PH) telah melantik Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (bekas Menteri Kesihatan), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Anthony Loke Siew Fook sebagai wakil mereka dalam Jawatankiuasa Bebas menilai darurat.

PH menamakan mereka dari pembangkang untuk mewakili mereka dalam Jawatankuasa Bebas bagi membuat pengesyoran kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung tempoh darurat yang sepatutnya ditamatkan lebih awal atau pun tidak.

Majlis Setiausaha PH dalam kenyataan mereka berkata, tiga nama tersebut telah diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan hari ini.

Surat tersebut dihantar oleh Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Menurutnya, penyertaan wakil pembangkang ke dalam Jawatankuasa Bebas itu tidak akan mengubah pendirian mereka bahawa alasan-alasan yang dikemukakan Perdana Menteri berkenaan keperluan darurat tidak dapat diterima.

“Kami serta majoriti Ahli-Ahli Parlimen juga kekal dengan pendirian bahawa darurat ini perlu ditamatkan dan Parlimen perlu bersidang segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini