Malaysia Dateline

Dr Dzulkefly beri ‘syarat’ jika mahu makan banyak

Makan secara berlebihan bererti mendedahkan diri kepada risiko bahaya penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti tekanan darah tinggi, diabetes dan kolestrol, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurutnya, hal tersebut diburukkan lagi dengan gaya hidup tidak sihat termasuk gagal melakukan aktiviti bersenam dan riadah secara aktif.

“Akhirnya, mengalami masalah obesiti yang semua ini mesti ditangani dengan pendekatan sangat holistik bukan sekadar ubat-ubatan.

“Bayangkan kalau makan nasi lemak dengan sambal ikan bilis, telur rebus dan kacang goreng sudah melebihi 600 kalori.

“Andaikan setiap hari, tubuh kita menyimpan lebih 600 kalori. Lebih menggerunkan akhirnya disimpan akan dalam bentuk lemak,” dipetik dari Mingguan Amanah.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor tersebut mengingatkan pentingnya rakyat Malaysia termasuk golongan muda pemimpin dan ahli AMANAH mengelak daripada makan berlebihan.

“Cara menangani berat badan berlebihan mudah: Jangan terlebih makan. Kalau anda nak makan banyak, anda kena bakar lebih kalori anda, dera diri anda.

“Janganlah guna cara ubat-ubatan untuk jadi kurus. Tidak payah. Kena bersukan, riadah. Ini sangat penting untuk mengelak badan jadi obes.

“Sebabnya, apabila obes, kita sangat terdedah kepada masalah diabetes. Obesiti menjadikan insulin kita kurang berfungsi. Bersenam menjadikan insulin kita lebih berfungsi,” ujar Pengarah Strategi AMANAH itu lagi.

Dr Dzulkefly berlari bersama pegawainya dalam satu aktiviti di ibu negara.