Dr Dzulkefly ‘cepat tangkap’ keperluan perkhidmatan kesihatan negara

Dr Dzulkefly ‘cepat tangkap’ keperluan perkhidmatan kesihatan negara

Sudah di ambang waktu Maghrib, lelaki berusia 63 tahun itu masih setia berada di bilik pejabatnya di Putrajaya.

Banyak urusan mahu ditangani menyedari harapan rakyat yang menggunung dipikul di bahunya. Namun, ayah kepada tujuh anak dan datuk kepada lebih 14 cucu itu masih tekun membelek helaian dokumen di atas mejanya.

Tiada istilah rehat dalam erti kata sebenar buat mantan pensyarah di Fakulti Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang dan HUSM, Kelantan itu.

Bahkan, walaupun pegawainya cuba untuk memberi ruang untuk beliau berehat dengan mengosongkan jadual temujanji, ada sahaja perkara mahu dilakukannya.

Itu antara perkongsian oleh Dr Muhamad Azrin Omar @ Nawi yang merupakan Pegawai Khas I kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Bagi Dr Azrin sepanjang setahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), bertugas dengan Ahli Parlimen Kuala Selangor itu merupakan pengalaman yang mencabar dan pastinya amat berharga.

Dr Dzulkefly membuktikan apa yang dicita bukan sekadar muntahan kata sebaliknya wajib disusuli dengan perahan akal fikir dan usaha berterusan yang tidak pernah kenal batas masa.

“Hari-hari biasa habis urusan kerja waktu Maghrib atau sebelum masuk waktu Maghrib. Tapi selepas mengerjakan solat, biasanya disambung dengan perbincangan demi perbincangan.

“Antaranya, dengan kumpulan think tank beliau, urusan politik atau kawasan (Parlimen). Pendek kata, jadual beliau sentiasa penuh dan sering kurang rehat.

“Kadang-kadang kami sengaja mengosongkan jadual dengan tidak meletakkan temujanji bagi memberikan sedikit masa lapang kepada beliau.

“Tetapi, beliau sendiri nanti akan memasukkan pertemuan-pertemuan dan perbincangan pada masa terluang tersebut,” katanya ceria ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Beliau yang pernah bertugas sebagai Pegawai Perubatan di Jabatan Pembedahan Hospital Selayang itu memberitahu para pegawai Dr Dzulkefly juga sudah alah bisa, tegal biasa sekiranya dihubungi di luar waktu pejabat.

“Arahan-arahan atau permintaan melalui panggilan telefon atau teks pesanan di luar waktu pejabat pada lewat malam atau awal pagi bukan perkara luar biasa bagi pegawai-pegawai beliau.

“Ada juga beberapa kali pegawai-pegawainya dipanggil di luar waktu pejabat untuk perbincangan atau mesyuarat mengejut,” jelas ayah kepada lima cahaya mata itu.

Dr Muhamad Azrin Omar

 

Fire fighting

Mengulas lanjut tentang budaya kerja Pengarah Strategi AMANAH itu, Dr Azrin berpendapat hal tersebut berkait rapat dengan banyak isu di Kementerian Kesihatan yang bertambah rumit jika ditangguhkan penyelesaiannya.

“Dr Dzulkefly sentiasa ada justifikasi mengapa perlu mengatur pertemuan meskipun kami sebelum itu sudah melapangkan masanya seketika.

“Ini memandangkan Kementerian Kesihatan bukan sahaja mempunyai agenda yang telah diatur dan dirancang.

“Sebaliknya, banyak isu yang timbul secara mengejut yang perlu penyelesaian segera secara fire fighting,” ujar Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim itu.

Beliau turut menyifatkan Dr Dzulkefly ‘cepat tangkap’ dalam memahami landskap keperluan dan perkhidmatan kesihatan di negara ini.

Pada masa sama, jelasnya, pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Toksikologi dari Universiti London itu dikelilingi modal insan yang beriltizam tinggi.

“Dr Dzulkefly juga disokong oleh individu-individu dengan kepakaran dalam bidang masing-masing yang bertindak sebagai think tank beliau bila-bila masa diperlukan.

“Tak ramai yang boleh memahami dan belajar dengan cepat kementerian yang sebesar ini iaitu kedua selepas pendidikan dengan pelbagai skim perkhidmatan.

“Beliau juga mesra dan cepat membentuk rapport dengan anggota kakitangan kementerian di semua peringkat,” katanya.

Ditanya tentang fokus utama Dr Dzulkefly sepanjang setahun menerajui kementerian yang berkaitan rapat dengan kesejahteraan hidup rakyat itu, beliau memberitahu, perubatan yang bersifat preventif, promotif dan prediktif sentiasa diberi penekanan.

“Dr Dzulkefly bersungguh mahu melihat adanya penambahbaikan sistem penyampaian kesihatan dan parameter kesihatan seperti jangka hayat penduduk dengan mengambil kira bebanan penyakit tidak berjangkit yang semakin meningkat,” ujar Dr Azrin lagi.

Dr Azrin Bersama delegasi Kementerian Kesihatan Malaysia diketuai Menteri Kesihatan ke Persidangan Antarabangsa Keselamatan Makanan FAO/WHO/AU di Addis Ababa, Ethiopia pada Mac lalu.