Malaysia Dateline

Dr Dzulkefly hargai komitmen anggota agensi penyelamat, sukarelawan banjir

Keadaan banjir di Selangor khususnya di Kuala Selangor menyaksikan wakil rakyatnya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad turut meredah bah.

Pengarah Strategi AMANAH itu turut menghargai khidmat yang diberikan para sukarelawan banjir dan anggota agensi penyelamat sepanjang musim tengkujuh ini.

“Saya juga menyanjung tinggi komitmen yang ditunjukkan oleh para sukarelawan banjir serta anggota agensi penyelamat seperti bomba yang senantiasa peka dan prihatin akan perkembangan banjir di semua lokasi yang terlibat,” ujarnya.

Dalam tinjauannya, Menteri Kesihatan tersebut memberitahu ada beberapa kawasan seperti di Parit Mahang yang mula terjejas tetapi dilihat masih belum di paras bahaya.

“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Langkah berjaga-jaga harus senantiasa diambil oleh penduduk kawasan yang terlibat khususnya bagi tujuan memindahkan barang-barang rumah ke lokasi yang lebih selamat,” katanya lagi.

Mengikut portal bencana alam, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Selangor setakat jam 12 tengah hari tadi terus menjadi negeri dengan penduduk tertinggi dipindahkan iaitu 659 orang daripada 185 keluarga di Kuala Selangor dipindahkan ke empat PPS.

Daripada jumlah itu, seramai 492 ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang; 89 dipindahkan ke Dewan MDSK Desa Coalfield; SK Jalan Setia Batang Berjuntai (46) dan Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Ijok (32).

Dr Dzulkefly bersama sekumpulan sukarelawan Amal Relief Malaysia (ARiF) membantu mangsa banjir.

 

Terdapat kereta terkandas dalam banjir di Kuala Selangor.

 

Dr Dzulkefly menziarahi antara rumah mangsa banjir di Parit Mahang.