Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad terus menyantuni rakyat yang terkesan dengan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh atau ‘total lockdown’.
Pengerusi Pasukan Petugas Khas Menangani Covid-19 Selangor (STFC) itu turut menyampaikan sumbangan kepada golongan B40 terbabit.
Antaranya, usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Zahid yang mengusahakan perniagaan roti canai sejuk beku.
Beliau yang mengusahakan perniagaan di rumahnya di Jalan Haji Mokhtar 2, Batu 8, Ijok antara peniaga yang terkesan dengan impak pandemik Covid-19.
Selain itu, Dr Dzulkefly yang juga bekas Menteri Kesihatan turut sempat bertanyakan khabar seorang penduduk Kampung Batu 4, Mohd Latiff Rahmad, 67.
Warga emas itu kehilangan dua insan tersayang akibat Covid-19 sekali gus menyaksikan beliau tidak dapat lagi meraikan Hari Raya Aidiladha esok bersama arwah isteri dan anaknya.
Latiff juga akan merindui masakan isterinya iaitu rendang ayam dan sambal kacang.
Isteri dan anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Bukit Badong, Bestari Jaya selepas menghembuskan nafas terakhir pada 14 Julai lalu hanya berselang enam jam.
Mula-mula isterinya, Sainon Kutut, 61, disahkan meninggal dunia pada jam 4.30 pagi sebelum disusuli anak lelakinya, Azman Mohd Latiff, 25, enam jam kemudian.
Sainon yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh (HSB) manakala Azman pula meninggal dunia di rumah dipercayai sesak nafas.
Lebih memilukan, Latiff menerima berita kematian Azman yang ketika itu dibawa ke Hospital Tanjong Karang (HTK) dan pada masa sama dia sedang mendengar taklimat pengurusan jenazah isterinya di HSB.
Beliau berkata, pemergian insan tercinta nyata mengubah sepenuhnya kehidupan yang sebelum ini bergantung penuh kepada mereka.
“Susah nak digambarkan apa yang dirasa ketika ini. Allah SWT sahaja yang mengetahui perasaan saya sewaktu Dia ‘ambil’ isteri dan anak dalam waktu singkat.
“Mereka berdua tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap atau tanda akan meninggalkan saya.
“Selepas ini, saya harus kuat menempuh kehidupan tanpa mereka,” kata Latiff lapor BH hari ini.