Malaysia Dateline

Dr Dzulkefly tidak bergerak di bawah radar lagi selepas persiap medan tempur

“Sebelum kita berlawan, kita kena kenal musuh kita. Dari situlah kita menjalankan misi kita. Itulah strategi.”

Itulah yang dilaksanakan oleh Pengarah Strategi AMANAH, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika berdepan dengan musuhnya di Parlimen Kuala Selangor kali ini.

Musuh beliau adalah bekas Menteri Kewangan, Tan Sri Tengku Zafrul Abdul Aziz, yang mempunyai dana yang banyak dan sumber tenaga yang cukup walaupun kurang pengalaman politik.

Mengenali hakikat inilah, Dr Dzul menjalankan misi kempennya bagi memastikan beliau boleh memberikan satu kerusi untuk membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri ke 10 selepas PRU – 15 ini.

“Pada peringkat awal, saya bergerak di bawah radar atau secara senyap-senyap. Saya kepong serta jaga pengundi asas saya dulu. Saya tumpu kepada kawasan yang saya mahu pastikan mereka bersama saya.

“Selepas semua itu selesai dan saya ada petanda positif, barulah saya muncul,” kata Dr Dzul kepada Malaysia Dateline menjelang sidang media beliau yang pertama hari ini selepas Parlimen dibubarkan.

Beberapa media melaporkan, selepas penamaan calon, Dr Dzul tidak dapat dikesan (invisible). Beliau juga dikaitkan sebagai calon yang tidak mahu menjadi calon tetapi dipaksa oleh parti.

Ini berikutan kenyataan beliau sebelum ini tidak lagi mahu bertanding dalam pilihan raya ini bagi memberikan laluan kepada muka-muka baru dalam AMANAH selepas menjadi wakil rakyat selama dua penggal.

Sebab itulah, apabila beliau dinamakan sebagai calon di Kuala Selangor sekali lagi, Dr Dzul dikatakan menyertai pilihan raya kali ini dalam keadaan tidak sepenuh hati.

“Tidak begitu. Saya sebenarnya bergerak di bawah radar agar tidak dapat dikesan oleh musuh saya, mengetahui kemampuan dana yang besar beliau,” kata Dr Dzul merujuk kepada Tengku Zafrul, bekas Menteri Kewangan yang menjadi saingan utama beliau.

Menurut pusat kajian Merdeka Centre, Kuala Selangor diletakkan sebagai kerusi 50:50 bahkan condong kepada BN.

Sejak Parlimen dibubarkan lagi, bendera lambang dacing Barisan Nasional sudah berkibar di seluruh kawasan Kuala Selangor. Turut naik adalah banner-banner besar calon BN yang melambangkan kemewahan dana mereka.

Menjelang sidang media kali ini, Dr Dzul mendapat maklumat yang sangat memberangsangkan dari gerakkerja petugas beliau di salah satu kawasan utama dalam Parlimen Kuala Selangor iaitu PDM Puncak Alam.

Kawasan inilah juga menjadi kawasan tumpuan Tengku Zafrul. “Dia telah bom kawasan ini,” kata Dr Dzul bekas Menteri Kesihatan itu.

“Memang kawasan ini saya menang dahulu. Jadi saya mahu tahu reaksi selepas di’bom’ oleh Tengku Zafrul.

“Hasil culaan yang saya baru terima hari ini sangat mengujakan saya,” kata Dr Dzul penuh kegembiran ketika merujuk kepada bancian yang petugas beliau lakukan di Puncak Alam, salah satu kawasan pembangunan baru yang besar di Kuala Selangor.

Menurut maklumat itu, sokongan kepada beliau sudah melebihi 55 peratus manakala 30 peratus lagi respondan masih belum membuat keputusan.

Dengan berita baik dari Puncak Alam inilah, Dr Dzul mengadakan sidang media hari ini dan membentangkan kad laporan beliau selaku Ahli Parlimen Kuala Selangor.

Kuala Selangor yang mempunyai 66 peratus pengundi Melayu, 22 peratus India dan 12 peratus Cina ini adalah sempadan dengan kawasan Selangor Utara yang masih gagal dikawal oleh Pakatan Harapan di Selangor. Kata orang pengaruh Pakatan Harapan hanya tersekat di Kuala Selangor sahaja.

4 kawasan Parlimen di Selangor utara yang menjadi sasaran Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum kali ini.

Bagi pemimpin PH di Selangor, meluaskan kawasan kemenangan PH ke utara Selangor iaitu kawasan Parlimen Tanjung Karang, Sungai Besar, Hulu Selangor dan Sabak Bernam yang bersempadan dengan Bagan Datuk di Perak adalah misi mereka dalam pilihan raya kali ini.

Kuala Selangor adalah pintu masuk untuk membolehkan PH menang di utara Selangor.

Selepas mengenalpasti kedudukannya, Dr Dzul berkata, beliau tidak akan bergerak di bawah radar lagi tetapi ‘all out‘ untuk memastikan kemenangan Pakatan Harapan tidak terhenti di Kuala Selangor bahkan merebak ke Tanjung Karang, Sungai Besar, Hulu Selangor dan juga Sabak Bernam.

BACA JUGA Pas bayar lebih RM2 juta sejak 2016 akibat kalah saman fitnah, ini senarai 16 fitnah yang dikeluarkan Pas

JUGA Selepas 70 profesor tampil, giliran 102 NGO Melayu juga sokong Anwar jadi PM

DAN JUGA #KitaBoleh, Anwar ‘trending’ di Twitter kurang 48 jam PRU15