Malaysia Dateline

‘Dr Dzulkefly tidak sekali pun politikkan saluran rasmi KKM’

Ammar Atan

Berbeza dengan Datuk Seri Dr Adham Baba merangkap Ketua Penerangan Umno Johor, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang sebelum ini diterajui Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad tidak pernah mempolitikkan saluran rasmi kerajaan.

Bekas Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri Kesihatan, Ammar Atan berkata, KKM cuba menerbitkan hantaran yang jelas berpolitik di Facebook (FB) rasmi semalam sebelum kemudiannya dipadamkan akibat kecaman.

“Sepanjang Dr Dzulkefly berkhidmat tidak sekali pun laman rasmi itu dipolitikkan sedemikan rupa dan jika ingin buat sekalipun beliau sendiri akan melarangnya,” kata Exco Pemuda AMANAH Nasional itu.

Semalam, orang ramai mengecam hantaran di akaun rasmi FB KKM yang berbaur propaganda kerajaan Perikatan Nasional (PN) apabila memuji Adham dalam menangani krisis wabak Covid-19.

Hantaran yang diolah daripada kenyataan asal menerusi laman Facebook ‘Friends of Dr Adham Baba’ itu turut membuat perbandingan dengan mengatakan menteri pada era PN tidak banyak bercakap tetapi memiliki “sense of urgency”.

Mengulas lanjut, Ammar yang juga bekas Pengurus Kempen di Invoke berkata, hantaran di FB rasmi KKM itu bercanggah dengan motto kementerian iaitu “Kami Sedia Membantu” iaitu berkhidmat tanpa mengira warna parti, agama dan bangsa.

“Apabila Menteri Kesihatan kini terdesak pulihkan imejnya yang rosak, sampai laman rasmi KKM pun mereka nak rosakkan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar pejabat Menteri Kesihatan pada masa ini tidak menggunakan saluran rasmi KKM sebagai platform mempromosikan kepentingan parti politik.

“Fokuslah kepada mempromosikan dasar kerajaan. Dalam masa sama, jangan memangsakan penjawat awam atas tindakan terdesak ahli politik dalam situasi semasa.

“Kementerian perlu kekal untuk semua tanpa mengira siapa,” tegas Ammar ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Dalam masa sama beliau bersimpati dengan pegawai kerajaan yang muncul dalam tangkap layar perbualan dalam kumpulan Whatsaap yang mendakwa hantaran di FB KKM itu dibuat atas arahan seorang pegawai kanan Adham.

“Pastinya netizen akan cepat sebar dan akhirnya kakitangan awam juga dipersalahkan.

“Padahal, mereka berfungsi sebagai pelaksana dan penyemak imbang kepada politikus di kementerian,” ujar Ammar lagi.

Tangkap layar dari kumpulan WhatsApp KKM Stormtroopers itu memuatkan pengakuan individu yang difahamkan dari Unit Komunikasi Korporat (UKK) KKM.

“As salam terima kasih. Posting dinaikkan atas arahan SUSK YBMK (Yang Berhormat Menteri Kesihatan),” kata individu atas nama LivingLegend.

Semakan Malaysia Dateline mendapati nama samaran itu berserta nombor telefon sama tanpa profil gambar itu juga wujud dalam kumpulan WhatsApp Media KKM.

Selepas disiasat termasuk merujuk portal rasmi KKM, individu tersebut ialah Pegawai Komunikasi Strategik Gred S51, Tuan Nazuri Tuan Ismail dari UKK.

Nazuri kemudiannya dalam reaksi terbuka di kumpulan WhatsApp Media KKM memberitahu tangkap layar yang tular itu bukan menggambarkan keseluruhan perbualan.

Screen shot itu tak sampai 10 peratus perbualan sebenar. Info screen shot itu SALAH. Sekarang cyberstroopers politik aktif. Silap ejaan pun kena kecam,” ujarnya pada jam 11.38 pagi tadi.