Dr Dzulkifli gembira KKM terima peruntukan seperti diharapkan

Dr Dzulkifli gembira KKM terima peruntukan seperti diharapkan

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hari ini menunjukkan reaksi ‘gembira’ sebaik menerima peruntukan sebanyak RM60 juta sebagai pemulaan untuk menyediakan vaksin pneumococcal kepada semua kanak-kanak.

Beliau berkata, selain memenuhi janji manifesto Pakatan Harapan, peruntukan berkenaan dilihat akan ‘melegakan’ pakar-pakar perubatan terutamanya pakar dan persatuan pediatrik di negara ini.

“Peruntukan ini juga akan membantu KKM mempergiatkan program, peralatan dan kakitangan di klinik pos-pos orang asli bagi mengekang penyakit berjangkit dari terus berlaku seperti yang terjadi di Kuala Koh tidak lama dahulu,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Pembentangan Belanjawan di lobi Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly yang juga merupakan Pengarah Strategi AMANAH berkata, setiap perkhidmatan di bawah KKM seperti perubatan, pergigian, kesihatan awam dan sebagainya mendapat peningkatan bajet seperti yang diharapkan.

“Pastinya semua rasa teruja kerana pada kali ini, jelas bahawa Menteri Kewangan dan barisan Kabinet telah menyusun dan merangka satu belanjawan yang benar-benar akan dapat memacu pertumbuhan dan menghasilkan kemakmuran bersama seperti mana yang kami cita-citakan,” katanya lagi.

Dalam pembentangan belanjawan tersebut, KKM menerima peruntukan sebanyak RM30.6 bilion, meningkat 6.7 peratus iaitu RM1.92 bilion, berbanding 2019 iaitu RM28.7 bilion.