Dr Hasnita Pengerusi Mara baharu

Dr Hasnita Pengerusi Mara baharu

Pengerusi Maybank Asset Management Group, Dr Hasnita Hashim dilantik sebagai Pengerusi baharu Majlis Amanah Rakyat (MARA), berkuat kuasa 1 Okt ini.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, Dr Hasnita yang kelulusan PhD dalam bidang Nuklear Fizik dari Oxford University mempunyai pengalaman 26 tahun dalam pengurusan kewangan global.

Dr Hasnita pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di Guidance Investments, sebuah anak syarikat Guidance Financial Group.

“Beliau memulakan kariernya di Coopers & Lybrand Deloitte, London sebagai seorang aktuari. Beliau juga merupakan ahli Institute of Actuaries.

“Kini, beliau ialah Pengerusi Maybank Asset Management Group dan juga ahli lembaga pengarah Maybank Banking Berhad,” kata kenyataan itu.

Selain itu, Pejabat Perdana Menteri turut mengumumkan pelantikan enam ahli majlis MARA yang baharu iaitu Rektor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) Dr Nungsari Ahmad Radhi dan Pengarah Urusan MYDIN Mohamed Holdings Bhd, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin.

Ahli majlis Mara yang lain terdiri daripada Pengerusi Mayban Life Assurance Bhd, Datuk Syed Tamin Ansari Syed Mohamed; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd, Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff dan Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Bhd (AMB), Zakri Khir.

COMMENTS

Wordpress (0)