Dr Hatta sokong hospital dibina di Semenyih

Oleh ARIF ATAN

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Wira Dr Hatta Ramli menyokong permohonan rakyat Semenyih untuk mendapatkan sebuah hospital.

Cadangan yang disampaikan oleh calon Pakatan Harapan (PH) pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih itu bagi Dr Hatta satu permohonan yang wajar.

Menurutnya, beliau pernah tinggal di Semenyih satu waktu dahulu ketika isterinya yang juga seorang doktor bertugas di Klinik Semenyih.

“Saya faham sangat tuntutan ini kerana semasa isteri saya bertugas di Klinik Semenyih lagi saya sudah lihat hospital wajar saja dibina di sini kerana Klinik Semenyih itu sentiasa penuh saja,” kata Dr Hatta ketika berucap di Bukit Mahkota malam ini.

Apabila calon PH Muhammad Aiman Zainali memperjuangkan sebuah hospital di Semenyih, media telah melaporkan kononnya Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mempertikaikan kewajaran itu.

Walau bagaimanapun, menurut Dr Dzulkefly, ia hanya permainan media sahaja.

“Apa yang saya kata adalah kewajarannya, jika ada kita akan mempertimbangkannya,” kata Menteri Kesihatan itu kepada Malaysia Dateline.