Malaysia Dateline

Dr Hisham amat bimbang kematian akibat Covid-19 naik mendadak

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kes kematian akibat Covid-19 meningkat dengan drastik untuk sembilan hari pertama tahun baharu ini.

Angka tersebut jauh berbeza dengan tempoh sepanjang sembilan bulan pertama tahun lalu yang menyaksikan kurang 100 kes kematian.

“Dalam tempoh 9 bulan pertama 2020, jumlah kes kematian kurang 100 kes.

“Namun, dalam tempoh 9 hari pertama tahun 2021, kita sudah mencatatkan 71 kes kematian,” kata beliau menerusi Twitternya, hari ini.

Sehubungan itu, Dr Hisham sangat bimbang dengan pola peningkatan mendadak kematian akibat Covid-19 di negara ini.

“Kita amat bimbang dengan perkembangan ini dan semoga Allah SWT lindungi kita semua,” katanya lagi.

Setakat semalam, terdapat 542 kes kematian dilaporkan dengan angka kematian harian tertinggi direkodkan sebanyak 16 kes kelmarin.

Pertambahan lagi lima kematian semalam menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia 0.41 peratus daripada keseluruhan kes.

Jumlah kes positif Covid-19 di negara ini sudah mencecah 133,559 kes dengan 2,451 lagi kes baharu dilaporkan semalam.