Dr Jeffrey Kitingan beri keterangan di SPRM Sabah

Dr Jeffrey Kitingan beri keterangan di SPRM Sabah

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Solidariti) Datuk Dr Jeffrey Kitingan hadir di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang tadi dipercayai bagi memberi keterangan berhubung Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), baru-baru ini.

Sumber pejabat SPRM ketika dihubungi Bernama turut mengesahkan Jeffrey hadir ke pejabat agensi itu, bagaimanapun sumber itu enggan memberi butiran lanjut.

Sementara itu, portal berita The Borneo Post Online pula melaporkan bahawa SPRM dikatakan turut menggeledah kediaman Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan berkenaan tengah malam tadi.

Pada PRU-14 lepas, parti Solidariti pimpinan Dr Jeffrey memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu Tambunan dan Bingkor.

Disebabkan tidak ada parti politik yang memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan, Solidariti telah menjadi ‘king maker’ apabila memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) yang memperoleh 29 kerusi untuk majoriti mudah 31 kerusi, sekali gus membolehkan pengerusi BN Tan Sri Musa Aman mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri.

Bagaimanapun majoriti mudah diperoleh BN atas sokongan parti Solidariti itu tidak kekal lama apabila hampir 10 Adun parti komponen BN daripada UPKO dan Umno meninggalkan parti masing-masing serta menyokong Parti Warisan Sabah pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

CATEGORIES