Malaysia Dateline

Dr Kamil pembimbing setia

Pemergian yang tak memeranjatkan, atas keuzuran yang dialami beliau. Tetapi pemergian yang menyebabkan satu sudut hati saya terasa kosong kerana Dr Kamil adalah pembimbing yang setia.

‘Se orang lagi pembimbingku hilang!’ – terjemahan dari kata hati saya yang termanggu atas berita pemergiannya.

Seseorang yang memberi bekas kepada hati kita, tak semestinya lama bersama kita.

Apa tah lagi, jika hubungan itu lama!

Ketika saya pertama kali berusrah bersama beliau, saya seakan terbau wudhu’ beliau di Majlis itu semasa itu.

Kami pernah diminta membaca Ayat-Ayat tentang Thalut dan Jhalut – Surat Al Baqarah, Ayat 246 sampai 252 di dalam sidang usrah kami.

Sampai sekarang saya terkesan dengan dua pengajaran dari Ayat-Ayat itu yang kami usrahkan bersama beliau:

1.Pemimpin mesti berilmu luas

– قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصْطَفَىٰهُ عَلَيْكُمْ وَزَادَهُۥبَسْطَةً فِى ٱلْعِلْمِ وَٱلْجِسْمِ

‘Sesungguhnya Allah telah memilihnya menjadi pemimpin kalian dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa’. Al Baqarah : 247

2.Jangan banyak mengaut kekayaan dunia ketika berkuasa

– وَمَن لَّمْ يَطْعَمْهُ فَإِنَّهُۥ مِنِّىٓ –

‘Thalut berkata, “Sesiapa di antara kamu meminum airnya (mengaut habun dunia semaunya), bukanlah ia dari pengikutku’.

إِلَّا مَنِ ٱغْتَرَفَ غُرْفَةًۢ بِيَدِهِۦ –

‘kecuali menceduk seceduk tangan (sekadar keperluan), ia adalah pengikutku’.

فَشَرِبُوا۟ مِنْهُ إِلَّا قَلِيلًا مِّنْهُمْ –

‘Kemudian mereka meminumnya – kecuali beberapa orang di antara mereka sahaja (yang tidak tergoda dengan kemewahan dunia)’. Al Baqarah : 249.

Manusia akan terus diuji. Peluang kekuasaan membuka jalan kekayaan, jika hilang tujuan perjuangan.

Demikian pesan dari kisah Thalut dan Jhalut yang meresap ke dada saya dari usrah berkenaan.

Lama juga kami berpisah.

Dr Kamil pembimbing setia
Dr Mahmud Zuhdi (kiri) abang kepada Allahyarham Dr Mohamad Kamil

Saya mengambil jalan politik. Beliau terus mendidik.

Sekoyong-koyong, ketika Pembimbing-Pembimbing besar saya telah pergi, beliau bertanya seseorang, ‘bagaimana saya boleh bantu Husam?’

Beliau mengisytiharkan diri menyertai AMANAH. Seakan berkata : ‘Saya bersama anda. Teruskan perjalanan’.

Semasa PKP dan aktiviti kehidupan berkurung, kami ke udara dalam majlis Tadabbur Al Qur’an dan beberapa acara lain.

Saat-saat indah, seakan kami melayari pengakhiran perhubungan di dunia ini dalam satu jalinan keilmuan.

Mengiringi perpisahan sewaktu kunjungan terakhir saya kepada beliau, kami saling bergengaman tangan.

Dalam kelemahan fizikal beliau, saya terasa gengamannya kuat.

Kata saya pada beliau “Moga perhubungan kita di dunia ini menjadi bekal kita untuk Akhirat nanti”.

Engkau tiada di sisi. Namun pengisian mu tetap di sisi. InsyaAllah.

Baca juga: Pakar Usuluddin, pemikiran Islam Prof Mohamad Kamil meninggal dunia

Baca juga: Suami tak wajib carum untuk isteri, skim adalah secara sukarela – Perkeso